Google
 

Wednesday, April 30, 2008


"Kecantikan seorang wanita apabila semakin meningkat usia, sepatutnya turun daripada wajah kepada hati"

Ada sesiapa nak komen? Muka kkedut mmerut ni tak boleh kita elak. Dahi licin, pipi mecin dan kulit tegang serta bergetoh tu ada "expiry date" nya. Namun, jika nak kekal menarik, kena wujudkan "kecantikan" dalam hati. Kecantikan jenis ini akan kekal walaupun usia telah lanjut.....

Wednesday, April 23, 2008

Dari Ibnu Umar ra. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Semua diantara kamu adalah pemimpin, dan semua diantara kalian akan ditanya tentang apa yang ia pimpin. Seorang imam / kepala negara adalah pemimpin, dan dia akan ditanya tentang apa yang ia pimpin. Seorang laki-laki / suami adalah pemimpin dalam keluarganya, dan dia akan ditanya tentang apa yang ia pimpin. Seorang wanita / istri adalah pemimpin di rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang ia pimpin. Seorang pelayan adalah pemimpin dalam harta milik majikannya. Dan setiap kamu adalah pemimpin, dan dia akan ditanya tentang apa yang ia pimpin (HR. Bukhari dan Muslim)
Setiap kita berperanan untuk tidak "melahirkan binatang" dalam masyarakat manusia....

Sunday, April 20, 2008


“Kesik” ialah bahasa Kelantan yang saya definisikan sebagai perasaan kesunyian dalam kalbu yang teramat sangat. Ia biasanya timbul dalam sanubari ketika keseorangan di malam hari atau senja. Berbanding dengan sunyi, kesik lebih tinggi tahapnya, datang menyentuh perasaan secara sekilas/cepat dan jangkamasanya, sedetik. Namun bila perasaan kesik datang, ia bisa menitiskan air mata.....

Sepanjang minggu ini saya berada di UUM, Sintok – menyahut seruan menimba ilmu dari atas buaian hingga ke liang lahat! Memandu berseorangan dari Dungun ke Sintok sejauh lebih 500 km (satu hala) dalam sehari dan merentasi bukit bukau lebuhraya Timur Barat, sememangnya mengujakan. Dalam perjalanan pulang, singgah sekejap di Machang – ziarah ibunda. Betullah kata orang, kasih ibu sampai bila bila...walaupun kita semakin berumur dan dah bekeluarga sendiri, kasihnya tetap sama atau semakin bertambah. Bila kita balik, dihidangnya makanan penuh meja dan istimewa. Pada hari tanpa kunjungan kita, mungkin hanya nasi dan ikan goreng saja jadi santapan. Mungkinkah kasih sayang dan layanan siibu kepada kita sama dengan kasih sayang dan layanan kita terhadap siibu bila umurnya semakin meningkat?

Saya sampai di rumah ibu hampir senja. Suasana rumah beliau dan kejiranannya sunyi. Sukar nak gambarkan perasaan di ketika itu tetapi itulah mungkin yang didefinisikan sebagai kesik!. Kenangan zaman kecil, riuh rendah sedang bermain di laman bersama adik-beradik dan taulan, menjelma di fikiran. Tiba-tiba....di petang itu, semuanya jadi sepi, hilang! Perasaan “missing” dan kekosongan muncul....

Gambar di atas, saya ambil semasa ibu sibuk menyiapkan sesuatu untuk anaknya yang datang ziarah. Ibu saya asyik mengatakan dia teringatkan menantu dan cucunya apabila melihat saya kerana biasanya mereka datang bersama-sama saya. Saya berbaring sambil melihatnya – hanya dia dan saya di dalam rumah tersebut! Di saat tiada apa yang kami bualkan, terdetik di fikiran saya, “kesiknya dia....”.

Tak dapat saya bayangkan beliau mengharungi hari hari tanpa suami dan anak-anak di sisi. Kekesikan beliau mungkin gagal saya fahami sepenuhnya kerana di ketika ini, saya masih dikelilingi isteri dan anak-anak. Yang merisaukan saya ialah fenomena ibu atau ayah tinggal berseorangan ini sudah menjadi seakan lumrah. Jika begitulah gayanya, insyaallah panjang umur, sianak yang sekarang ini sedang selesa berada dalam keramaian akan suatu masa berada dalam kekesikan, seperti yang dialami siibu sekarang. Jika kekesikan menjadi realiti di usia tua, saya berdoa saya akan setabah ibu.
Setiap kita ada kekangan (limitasi) masing-masing. Orang tua sememangnya ingin tinggal di rumah mereka sendiri (walaupun berseorangan). Anak-anak pula perlu merantau untuk mencari rezeki dan kehidupan. Inilah kehidupan.....

Wednesday, April 16, 2008

Monday, April 14, 2008

Isu Semasa : "FITNA" - Apa peranan media kita?

Isu Semasa : "FITNA" - Apa peranan media kita?
Kita lihat musuh Islam sememangnya konsisten dan komited dalam strategi mereka menghancurkan Islam. Malangnya, umat Islam, umumnya tidak bersatu dan serius dalam menghadapi "serangan". Begitu juga dalam merangka strategi mengukuhkan kekuatan. Saya berpendapat, media kita mempunyai peranan signifikan bukan sahaja dalam memberi penjelasan menepis dakyah musuh Islam ini, tetapi juga membantu mengukuhkan penghayatan Islam di kalangan rakyat negara ini. Ini kerana, TV boleh dikatakan ada dalam setiap rumah di negara ini. Orang media perlu tulus, ikhlas, kreatif dan sedar peri pentingnya peranan mereka. Saya suka lihat drama bersiri Indonesia bertajuk "Hidayat" (tayangan hari Jumaat), yang memaparkan pentingnya Islam dipraktikkan dan jadi "way of life". Mungkin kita juga ada drama sebegini tetapi berapa banyak dan sejauh mana keberterusannya? Kita banyak dihidangkan dengan program hiburan yang kekadang itu melampau (dari aspek pakaian dan perlakuannya). Ironinya, program-program sebegini banyak diterbitkan oleh orang Melayu, diaksikan oleh orang Melayu dan ditonton oleh kebanyakannya, orang Melayu. Kesan lambakan program-program hiburan sebegini dalam masyarakat kita ialah kita jadi sensitif (titiskan air mata) jika penyanyi kegemaran kita kalah atau kita bertepuk riang gembira melihat anak-anak muda kita terlonjak-lonjak di pentas walaupun pakaiannya menjolok mata. Pada masa yang sama, kita jadi "macam air dicurahkan ke daun keladi" bilamana ada musuh hina Islam atau Palestin/Lubnan/Iraq/Afghanistan di bom. Air tetap jatuh ke daun keladi apabila dicurah, namun ianya cepat mengalir dari daun tanpa melekat!
Nota : Dulu, anak-anak muda banyak belajar daripada orang tua. Lo ni, anak-anak muda banyak belajar daripada apa yang mereka lihat dalam TV (dan Internet). Kita tak dapat kawal internet tapi kita boleh tentukan apa yang kita tayangkan dalam TV kita. Jika TV (yang mampu kita kawal pun) kita tidak gunakan sebaiknya untuk "meneutralkan" pengaruh negatif internet, apa sebenarnya yang kita bersedia sumbangkan? Kita tentunya tak nak anak-anak muda kita jadi seperti Sufiah - ramai daripada mereka bijak pandai tapi......

Sunday, April 13, 2008

Kerja=Ibadat: Usahawan

Kerja=Ibadat : Usahawan
Rutin setiap hari bagi kebanyakan kita ialah bekerja. Banyak masa kita habiskan dengan bekerja. Justeru, amat penting bagi kita memastikan kerja yang kita lakukan itu juga merupakan ibadat dan peluang untuk kita mengaut sebanyak mungkin pahala melaluinya. Jika tidak, kita hanya mungkin ada baki umur semasa pencen untuk buat amal. Itupun, jika kita sempat sampai ke peringkat itu. Kita harus tahu bagaimana untuk jadikan kerja kita suatu ibadat dan berusaha mengamalkannya. Jika tidak, ianya mungkin jadi macam duduk dalam masjid tanpa kita berniat iktikaf duduk dalam masjid.
Skrip di atas ialah satu contoh kerja ditukar jadi ibadat, dalam kontek seorang usahawan. Sebelum minta, makcik usahawan ni dah beri lebih (sedekah) kepada pembeli. Ini mungkin kerana mak cik ini nak jadikan kerjanya sebagai ibadat dan dapat pahala. Beliau juga mengamalkan konsep "cari rezeki dan bukannya cari pitih!".

Thursday, April 10, 2008

Sepang Lap

Sepang lap (www.negarakumalaysia.blogspot.com)
Ni trek lumba kereta di Sepang, Malaysia. Cuba perhatikan corak jalannya - ada yang lurus dan ada yang berliku!. Trek ni dibuat sebegini rupa agar pemenang perlumbaan merupakan pemandu yang betul-betul hebat, dapat melepasi segala ujian. Dalam ertikata lain, kemahirannya mengendalikan kenderaan tidak dapat dipertikaikan lagi. Jika diamati, trek ini banyak yang berliku daripada yang lurus. Ini mungkin kerana kemahiran sebenar tidak dapat dinilai berdasarkan pemanduan di jalan yang lurus. Tak dinafikan, pemanduan di jalan berliku ni berbahaya. Sebab itu (dalam imej di atas), di hujung setiap liku ada diletakkan kawasan berpasir putih - untuk pemandu yang terbabas! Mengapa para pelumba sanggup menempuhi segala kesukaran, sanggup berjuang nyawa untuk menang? Tidak lain dan tidak bukan, disebabkan ganjaran lumayan yang diperuntukkan kepada pemenang.
Laluan di trek Sepang di atas adalah analogi untuk perjalanan hidup di dunia ini. Dalam menjalani kehidupan, bukan semuanya mudah. Hanya yang cekal melalui liku-liku hidup akan diisytiharkan "pemenang" dan akan dianugerahkan hadiah yang amat bernilai setelah menamatkan perjalanan nanti.

Tuesday, April 08, 2008

Sibuk kumpul harta

Sibuk kumpul harta
Agak-agak ada ke orang yang terlalu sibuk kumpul harta sampaikan anaknya sendiri pun dah tak kenal/lupa ayahnya. Tak kenal/lupa sebab jarang jumpa! Orang yang sibuk kumpul kekayaan boleh lupa dan dilupakan - lupa keluarga, lupa jiran tetangga, lupa Tuhan! Jika macam ni, parah lah kita - minta dijauhkan kita dari berada dalam situasi sebegini. Pernah tengok semut mati bergelimpangan dalam bekas gula dok? Ingatkan bila berada dalam timbunan gula, semut akan ketawa berdekah-dekah...rupanya, mati terkangkang! Harap-harap kita dapat pelajari sesuatu dari kisah semut dan gula ini. Dalam surah al-Humazah, Allah s.w.t menceritakan kisah orang yang terlalu sibuk mengumpul kekayaan ini..

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu?(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), -Yang naik menjulang ke hati;Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.(Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.
- Surah Al-HUmazah, Ayat 1-9