Sesebuah organisasi memerlukan satu pasukan pengurusan dan pekerja yang mantap bagi mencapai objektif yang telah digariskan. Apakah kriteria-kriteria penting yang menentukan kejayaan sesebuah pasukan. Tak lama lagi ada World Cup bola! Saya sokong Jerman! Jangan marahhhhh....Hari tu sokong Myteam! Di sini saya nak kaitkan sukan bola dengan semangat berpasukan.
Setiap pemain dalam satu pasukan bolasepak memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing, yang seringkali diingatkan oleh pengurus pasukan sejurus sebelum perlawanan bermula. Objektif dan strategi dimaklumkan dengan jelas kepada setiap pemain. Komunikasi dalam pasukan menjadi dua hala di mana pengurus dan jurulatih juga mendengar pendapat daripada pemain tentang cara terbaik untuk memenangi perlawanan. Setiap pemain sepakat bahawa mereka perlu menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Masing-masing memberikan semangat kepada satu sama lain. Kejayaan menjaringkan gol akan diraikan bersama. Pemain yang menjaringkan gol akan melonjak gembira dan kadang-kadang membuat aksi akrobatik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menggerunkan. Penjaga gol yang berada pada jarak 110 kaki dihujung padang pun akan turut sama meraikan kejayaan.
Tanggungjawab dan peranan diletakkan di bahu mereka yang mahir. Penyerang digelar sedemikian dan diberikan tanggungjawab menjaringkan gol kerana mereka mahir dalam tugas tersebut. Bayangkan apa akan jadi jika semua pemain dari pasukan yang sama berebut-rebut untuk menjaringkan gol. Penyerang juga harus menerima hakikat bahawa kejayaan mereka menjaringkan gol bukannya usaha individu tetapi keseluruhan ahli pasukan. Mereka tidak akan mencipta kemenangan jika jumlah gol yang dijaringkan sama dengan jumlah pintu gol mereka dibolosi. Selain daripada itu, sikap individu memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan pasukan. Tanpa sikap yang betul, pemain yang berkebolehan dan mahir juga bisa memusnahkan impian pasukan. Fikirkan kesan jika wujudnya rasuah dalam permainan. Pemain boleh di’beli’ dan pasukan yang kuat pun boleh tumbang! Pemain yang baik seharusnya mempunyai sikap positif, tidak mudah menyerah kalah. Mudah lemah semangat,bekerjasama tanpa mementingkan diri sendiri dan komited kepada pasukan. Strategi dan maklumat dikongsi bersama-sama tanpa disembunyikan daripada mana-mana pemain. Jarang kita lihat pemain membawa bola berseorangan dari pintu golnya ke pintu gol lawan dan cuba menjaringkan gol tanpa berkongsi dengan rakan sepasukan. Sebagai satu pasukan, kepentingan diri diketepikan, sebaliknya tangan dihulur apabila bantuan diperlukan. Pemain yang sedang membawa bola dan membuat serangan ke pintu gol lawan biasanya diekori dengan rapat oleh kawan sepasukan sebagai satu back-up. Jika pemain yang membawa bola tadi dikepong dan memerlukan bantuan, ada kawan yang sedia membantu.
Ringkasnya, beberapa pengajaran dan panduan yang dapat dicungkil daripada sukan bolasepak yang mempunyai sebelas pemain utama dan jutaan ‘pemain simpanan’ ini. Kemahiran, sikap yang betul, memahami objektif, komited, saling tolong menolong, dan bersedia berkongsi maklumat adalah antara ciri-ciri untuk menjadikan kerja berpasukan itu berkesan. Jari jemari yang diciptakan Allah berlainan fizikalnya - panjang, pendek, kurus, gemuk dan ketoq, jika digenggam erat boleh menghasilkan tumbukan hingga orang pengsan!
No comments:
Post a Comment