Google
 

Sunday, April 20, 2008


“Kesik” ialah bahasa Kelantan yang saya definisikan sebagai perasaan kesunyian dalam kalbu yang teramat sangat. Ia biasanya timbul dalam sanubari ketika keseorangan di malam hari atau senja. Berbanding dengan sunyi, kesik lebih tinggi tahapnya, datang menyentuh perasaan secara sekilas/cepat dan jangkamasanya, sedetik. Namun bila perasaan kesik datang, ia bisa menitiskan air mata.....

Sepanjang minggu ini saya berada di UUM, Sintok – menyahut seruan menimba ilmu dari atas buaian hingga ke liang lahat! Memandu berseorangan dari Dungun ke Sintok sejauh lebih 500 km (satu hala) dalam sehari dan merentasi bukit bukau lebuhraya Timur Barat, sememangnya mengujakan. Dalam perjalanan pulang, singgah sekejap di Machang – ziarah ibunda. Betullah kata orang, kasih ibu sampai bila bila...walaupun kita semakin berumur dan dah bekeluarga sendiri, kasihnya tetap sama atau semakin bertambah. Bila kita balik, dihidangnya makanan penuh meja dan istimewa. Pada hari tanpa kunjungan kita, mungkin hanya nasi dan ikan goreng saja jadi santapan. Mungkinkah kasih sayang dan layanan siibu kepada kita sama dengan kasih sayang dan layanan kita terhadap siibu bila umurnya semakin meningkat?

Saya sampai di rumah ibu hampir senja. Suasana rumah beliau dan kejiranannya sunyi. Sukar nak gambarkan perasaan di ketika itu tetapi itulah mungkin yang didefinisikan sebagai kesik!. Kenangan zaman kecil, riuh rendah sedang bermain di laman bersama adik-beradik dan taulan, menjelma di fikiran. Tiba-tiba....di petang itu, semuanya jadi sepi, hilang! Perasaan “missing” dan kekosongan muncul....

Gambar di atas, saya ambil semasa ibu sibuk menyiapkan sesuatu untuk anaknya yang datang ziarah. Ibu saya asyik mengatakan dia teringatkan menantu dan cucunya apabila melihat saya kerana biasanya mereka datang bersama-sama saya. Saya berbaring sambil melihatnya – hanya dia dan saya di dalam rumah tersebut! Di saat tiada apa yang kami bualkan, terdetik di fikiran saya, “kesiknya dia....”.

Tak dapat saya bayangkan beliau mengharungi hari hari tanpa suami dan anak-anak di sisi. Kekesikan beliau mungkin gagal saya fahami sepenuhnya kerana di ketika ini, saya masih dikelilingi isteri dan anak-anak. Yang merisaukan saya ialah fenomena ibu atau ayah tinggal berseorangan ini sudah menjadi seakan lumrah. Jika begitulah gayanya, insyaallah panjang umur, sianak yang sekarang ini sedang selesa berada dalam keramaian akan suatu masa berada dalam kekesikan, seperti yang dialami siibu sekarang. Jika kekesikan menjadi realiti di usia tua, saya berdoa saya akan setabah ibu.
Setiap kita ada kekangan (limitasi) masing-masing. Orang tua sememangnya ingin tinggal di rumah mereka sendiri (walaupun berseorangan). Anak-anak pula perlu merantau untuk mencari rezeki dan kehidupan. Inilah kehidupan.....

3 comments:

Anonymous said...

Salam,
Sedih tapi inilah realitinya hari ini.Masing2 sibok dengan alam duniawi.Kadang2 terfikir kenapa tidak diadakan rumah kebajikkan berkonsep Islam untuk menjaga warga emas yang kesaorangan. Saya rasa mereka lebih suka duduk bersama kawan2 yg dapat memahami perasaan masing2. Pihak pengurusan perlu mengadakan jadual yg sesuai memenuhi kehendak warga emas ini.Anak2 bolih melawat dan membawa balik bila perlu.Masa berubah jadi kita pun kenalah berubah mengikut masa. Saya pun bila sampai masanya lebih suka duduk di rumah kebajikkan. Saya bolih beramal,kesihatan dijaga,berbual dgn kawan2 dan sebagainya dgn selesa. Wassalam

Anonymous said...

Salam,

semoga terus berblog kerana cerita yang ditulis terasa dekat di hati...teruskan menulis

Anonymous said...

SALAM

Begitu lah Sunnah ALLAH...

Setiap detik berlalu,
Berlalulah umur kita,
Setiap saat berlalu,
Makin banyak luaknya,
Setiap hari yang pergi,
Makin bertambah lagi kurangnya,
Bila minggu berlalu,
Sudah banyak umur yang dikikisnya,
Kalau bulan berlalu,
Makin laju kita ke sana,
Bila tahun baru menjelang,
Wah! Terlalu banyak umur yang hilang,
Sedarkah kita hal ini?
Setiap detik umur hilang?
Menuju pulang!
Negara yang tidak ada ukuran masa lagi,
Seperti di sini,
Masa masih menjadi kiraan,
Hendaklah kita ingat semuanya ini.

Didalam perut ibu ...keseorangan
Didalam perut bumi juga ...keseorangan

SEMOGA TUHAN AKAN MENGISI KESIK KU DI HARI TUA KU NANTI !!!