Pagi ni semasa mandi, termasuk air dalam telinga. Ini biasa berlaku tapi yang tidak biasanya, bila dimasukkan air lagi (petua diterima daripada orang tua-tua) dan lompat beberapa kali sambil menonggengkan telinga ke bawah, air tak juga keluar. Lompat punya lompat punya lompat, air tak juga keluar. Telinga jadi bengang, berdegung dan bila dijirus air ke seluruh kepala, bunyi dalam kepala macam air hujan lebat menimpa atap zink – sangat tidak selesa dan saya jadi panik! Saya teringat beberapa kenalan orang tua yang pernah menyuarakan keadaan mereka yang telinga berdengung. Kita yang tidak pernah menghadapi ini mungkin mengambil enteng – masuk telinga kanan, keluar telinga kiri! Kini saya telah merasainya. Itupun bukan lagi penglihatan kabur atau terus gelap gulita. Alhamdulillah, selepas 10 minit, entah selepas berapa kali melompat, akhirnya air dalam telinga pun keluar. Anak-anak dan isteri ketawa besar kerana saya melompat hingga keluar bilik air (dengan bertuala!). Kata mereka, muka saya nampak panik sangat-sangat!
Apa yang saya ingin kongsi di sini ialah keselesaan yang kita sedang nikmati ini boleh hilang dengan sekelip mata. Semua orang tahu ini tapi saya fokus kepada perasaan di ketika keselesaan yang dinikmati ditarik oleh Yang Maha Kuasa. Disaat ini, biasanya kita cepat insaf dan merayu kepada Tuhan agar dikembalikan kepada keadaan asal. Disaat dan ketika itu, hati kecil mungkin sampai tahap berjanji dengan Allah s.w.t akan menjadi hamba yang soleh – harta tidak penting, pitih tidak penting, pangkat dan kuasa tidak penting! Saya bersyukur kerana ianya hanya 10 minit – bagaimana agaknya jika buka mata pagi ini, kita ditanya, “Ma Rabbukka?” Aduh, tentunya gawat pak! Banyak urusan yang belum selesai nih! Tapi yang biasa itu biasa terjadi - ingat sekejap dan lupanya berterusan!
Derita orang kita anggap enteng sehinggalah kita juga merasainya. kebelakangan ini kita dihidangkan dengan berita rakan seagama dibelasah "orang gila", Israel. Rakan seagama di Indonesia melalui saat sukar ditimpa gempabumi lagi, atau lebih spesifiknya tsunami. kekadang bila dah biasa dengar, kita sekadar dengar atau tukar channel TV - "biasalah", kata kita. Kita lebih fokus kepada berita hiburan dan siaran langsung artis kahwin. Muka depan akhbar bukan mengenai nasib rakan-rakan kita yang ditimpa musibah tapi berita yang menyeronokkan. Perbincangan bukan lagi bagaimana untuk kita membantu tetapi keutamaannya kepada yang lain. Kita terus tenggelam! Kita perlu ingat yang keselesaan pastinya tidak berkekalan dan signal yang kita berada di landasan yang betul. Ditakuti bila masa kita kena, tiada apa yang boleh dibetulkan lagi!
No comments:
Post a Comment