Google
 

Friday, September 08, 2006

Kasih sayang bola ping pong

Saya baru pulang (3 Julai 2006) daripada bertemu seorang rakan baru, seorang penjawat awam yang juga seorang pelajar Masters secara separuh masa. Sebenarnya saya menemani seorang rakan lain yang sudah lama mengenali rakan baru ini. Kami berbual sambil makan satay. Antara topik yang dibincangkan ialah mengapa secara umumnya, rakyat Terengganu (yang sudah bekerja) tidak begitu berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. Umum, kerana kami tiada statistik untuk membuktikannya tetapi berdasarkan kepada pemerhatian. Di Terengganu, prasarana pendidikan boleh dikatakan setanding dengan negeri lain tetapi peratusan rakyat negeri Terengganu yang terlibat tidak membanggakan. Semangat mereka daripada Kelantan dan Pahang dirasakan lebih ketara. Kata rakan baru tadi,

"Ketika saya bekerja di Kelantan dulu, saya lihat kesedaran kepada kepentingan pendidikan tinggi - siayah rela bergolok bergadai untuk pendidikan anak-anak. Biarlah rumah siayah seakan nak menyembah bumi tapi duit dicari untuk dilaburkan bagi anak-anak ngaji! Sesetengah orang kita di sini, duit dicari untuk diri sendiri, simpan! Bila meninggal, anak dok berebut!"

Rakan saya yang seorang lagi mencelah,
"Sebab itu kita tengok di Kelantan, ekonomi mereka bergerak! Di kampung pun banyak rumah banglo walaupun mereka tiada industri besar. Ini hasil "kasih sayang bola ping pong". Jika kita baling bola ping pong ke dinding dengan perlahan, ia akan melantun balik secara perlahan. Jika kita baling kuat, ia akan melantun kuat kepada kita. Sianak nampak jerih perit ibubapa untuk memberi pendidikan kepada mereka setinggi mungkin. Subuh pagi ketika anak tidur, sudah ke tempat menoreh atau turun ke laut, bergadai nyawa dibaham harimau atau dipukul badai. Sianak perhati dan pelajari semua ini. Balingan kuat pastinya lantunannya juga kuat. Bila anak-anak berjaya, mereka akan hantar wang ke kampung kepada ibubapa untuk dibelanjakan. Pantang musim cuti atau hari minggu pun, mereka berduyun-duyun balik kampung dan berbelanja."

Dalam perjalanan pulang, rakan saya menceritakan sedikit latarbelakang rakan baru saya tadi yang membuatkan saya amat mengaguminya. Sekarang beliau dalam usia 49 tahun, buat Masters (hari minggu memandu ke universti yang jaraknya, 12 jam perjalanan). Pada hari bekerja, selepas pulang daripada pejabat yang jauhnya +- 1 jam dari rumah, beliau akan berehat sekejap dan pada sebelah malamnya, akan memandu selama 45 minit pula ke rumah ibunya. Beliau akan bermalam di rumah ibunya yang tinggal bersendirian. Awal pagi, terus memandu ke tempat kerja (1 jam dari rumah si ibu). Ini rutin harian rakan yang baru saya kenal tadi. Wowwwww...

No comments: