Google
 

Friday, November 09, 2007

Bagaimana dengan kita?

Saya baru tengok cerita di TV bertajuk Past Sins. Ianya mengisahkan Janice, seorang pejuang sosial yang sentiasa berjuang menentang ketidakadilan dalam masyarakat. Malangnya Janice dianaiya oleh pihak jahat sehingga beliau disumbat ke dalam penjara seumur hidup. Selepas 30 tahun, ada seorang peguam yang tergerak hati untuk bantu “pengganas” ini. Cabaran untuk membebaskannya melalui perbicaraan semula amat hebat kerana masyarakat telah berjaya dipengaruhi untuk mempercayai bahawa Janice adalah pengganas! Misalnya, ikat jamin yang dikenakan hakim berjumlah USD1 juta. Satu pagi suami Janice melihat ramai jiran, rakan dan orang berkumpul di luar rumah. Mereka menyerahkan wang USD1 juta untuk mengikat jamin Janice. Ramai yang terharu dengan sokongan dan bantuan kepada Janice serta keluarganya di saat kesukaran ini. Apabila peguam bertanyakan mengapa mereka sanggup membantu? Jawapan yang diterima ialah, “Janice banyak bantu kami dalam kesusahan dan berjuang untuk kami. Kini, tiba masanya kami bantu Janice!”. Kata peguam tersebut kepada suami Janice, “Saya kagum dengan Janice. Walaupun saya seorang peguam dan telah banyak memenangkan kes pelanggan, saya tak pasti saya akan dapat sokongan seperti Janice di saat saya menghadapi kesukaran!”.

Apa yang saya nak kongsi di sini ialah bagaimana dengan kita? Agak-agaknya ada ke orang yang sanggup bergolok bergadai untuk bantu kita, di saat kita tiada apa-apa? Jika tidak, mungkin kena lihat ke dalam diri kita semula - tentang sumbangan kita kepada orang lain, keikhlasan kita dan sebagainya. Perbaiki mana yang patut!