Google
 

Sunday, July 08, 2007

"Tiada Panggilan Sepenting Seruan Ilahi"

Tiada Panggilan Sepenting Seruan Illahi" (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com/)
Saya tabik kepada TM kerana meletakkan peringatan begini dalam masjid. Kita ni manusia, mudah lupa dan perlu sentiasa diperingatkan. Banyak yang kita tahu tapi tidak diamalkan. Kita juga nampaknya ambil mudah bila berkaitan dengan keagamaan. Misalnya, masa Maghriblah ramai orang berkunjung ke pasar malam. Siap dengan bawa anak-anak sekali. Kalau dulu, orang tua-tua larang anak keluar rumah pada waktu Maghrib - banyak hantu kata mereka. Memang betul jika ada yang berkata, pergi ke pasar malam tidak semestinya tidak solat. Tapi kita bincang tentang memberi kemudahan untuk beribadat. Berapa ramai kita lihat peniaga solat di belakang meja jualannya ketika Maghrib. OK, bersangka baik, kita katakan mereka buat syif. Bagaimana pula dengan pembeli. Masa Maghrib singkat. Ada ke disediakan tempat solat di tapak pasar malam atau di restoran.
Di zaman orang jauh dari agama, kemudahan dan ruang untuk beribadat amat perlu. Kita tidak ingin "sorong bantal" kepada orang yang memang liat nak solat! Jika dilihat, tempat makan pun sama - masa Maghriblah ramai orang nak cari makan. Samalah juga dengan penganjuran program - dibuat sebelum masuk waktu (terutamanya Maghrib) atau masa untuk solat tu singkat sangat. Orang jadi terkejar-kejar! Berapa banyak program yang kita hadiri dimulakan dengan doa atau bacaan ayat suci Al-Quran? Boleh ke kita buat bacaan doa atau ayat suci al-Quran jika ada peserta bukan Islam? Mengapa tidak? Itu keunikan dan kehebatan Islam. Kita bukan bercakap tentang keadaan di negara orang bukan Islam. Ini tempat kita dan program yang dianjurkan oleh orang Islam. Lebih malang, program yang dianjurkan oleh orang Islam dan dihadiri kesemuanya orang Islam pun tiada doa dan bacaan ayat suci Al-Quran. Jika kita tidak ambil cakna tentang agama kita sendiri, nak harapkan siapa lagi...

No comments: