Google
 

Tuesday, October 02, 2007

Keibubapaan: "Outsourcing" vs. "In-house development"

Keibubapaan : “outsourcing” vs. “In-house development”

Terma outsourcing dan in-house development diajar dalam subjek Accounting Information System (AIS) dan merujuk kepada kaedah untuk membangunkan sesebuah sistem maklumat. Saya cuba gunakan terma ini sebagai analogi kepada konsep pendidikan anak-anak oleh ibubapa. Sebelum itu, saya terangkan dulu maksud dua terma tersebut dengan merujuk kepada kes berikut:

Sekolah Kebangsaan Sura ingin menggunakan khidmat pengawal keselamatan. Pilihan yang ada dua : (1) menggunakan khidmat syarikat pengawal keselamatan luar atau (2) menggaji sendiri pekerja untuk menjadi pengawal keselamatan.

Pilihan (1) dinamakan “outsourcing” iaitu menyerahkan tugas kepada pihak luar yang pakar dan pilihan (2) dinamakan “in-house development”, iaitu menggunakan kepakaran dalaman sendiri.

Saya berpendapat dalam memberikan pendidikan agama kepada anak-anak, kita (ibubapa) sekarang umumnya, ramai yang menggunakan kaedah “outsourcing”. Belajar baca Quran, belajar solat dan aspek agama yang lain kita serahkan kepada sekolah atau pusat yang menjalankan kelas fardhu ain untuk ajar, secara keseluruhannya (total)!!. Timbul pula yang kata, “tiada kepakaran”. Jikapun kita tak mahir baca Quran, takkanlah kita juga tak mahir solat! “Tiada kepakaran” bukan alasan kerana hakikatnya apa yang perlu ada pada anak hanyalah juga apa yang perlu ada pada kita.

Setidak-tidaknya kita ambil peduli. “Kain putih” itu adalah amanah untuk kita corakkan sebaik mungkin. Seorang ustaz mengajukan soalan, “Berapa ramai ibubapa yang pernah periksa dan cuba betulkan solat anak-anak, semenjak kecil sampai remaja?”. Berapa ramai ibubapa yang tunjuk cara betul ambil wudhuk atau mandi junub?”.
Bila manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : amal jariah, doa anak yang soleh dan ilmu berguna yang diajar kepada orang. Secara tidak langsung, ibubapa juga berpeluang mempunyai "murid" yang boleh diperturunkan ilmu yang berguna. Bayangkan jika seorang anak solat sepanjang hayatnya dan orang pertama yang mengajar solat itu ialah kita, ibubapanya.