Google
 
Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Tuesday, June 10, 2008

Adakah kita sedang menyusuri jalan mereka?

Adakah kita sedang menyusuri jalan mereka?
Saya ingin berkongsi pengajaran daripada sebuah filem bertajuk, SHE’S TOO YOUNG…..”. Ianya mengenai kerisauan satu kelompok ibubapa di negara barat tentang penyakit sosial yang melanda anak-anak muda mereka yang masih bersekolah - bergaul bebas, bertukar pasangan seks, parti seks malam minggu + dadah + arak!. Anak perempuan kepada heroin dalam filem ini akhirnya dijangkiti penyakit sifilis akibat aktiviti seks yang tak terkawal. Siibu bertungkus lumus menyedarkan masyarakatnya tentang bahayanya budaya negatif yang sedang menular. Niatnya hanya satu, iaitu untuk memastikan agar beliau adalah ibu terakhir yang menanggung kekecewaan serta keperitan tersebut. Usaha dibuat mengumpulkan rakan serta jiran untuk bermesyuarat membincangkan apakah sebabnya dan bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Namun, ada antara ibubapa yang tidak memberikan sokongan kerana kata mereka, “itu tidak akan terjadi kepada anak kami!”, malah menyalahkan siibu tadi dengan mendakwa bahawa beliau tidak bersedia menghadapi gaya hidup generasi baru.

Apa yang nak saya kongsi di sini ialah selaku orang Islam, kita tidak perlu bermesyuarat untuk mencari punca dan ubat kepada permasalahan yang dibincangkan di atas. Puncanya ialah kerana kita “tinggal” Islam (walaupun fikiran dan mulut kita kata tidak!) dan ubatnya ialah kembali kepada Islam. Selaku orang Islam juga kita bernasib baik kerana jalan kita sememangnya sudah bersuluh. Kita berpeluang mengetahui apa yang berlaku di belakang (untuk dijadikan pengajaran) walaupun kita tidak hidup di zaman tersebut. Kita juga berpeluang mengetahui apa yang akan berlaku di hadapan (untuk kita atur langkah yang tepat) walaupun kita masih belum melaluinya – orang dulu buat begini, maka begini jadinya. Jika ambil jalan ini, nanti beginilah balasannya.....

Jika kita gagal lihat dan manfaatkan kelebihan yang ada ini, mungkin kita tiada bezanya dengan kelompok masyarakat barat yang dibincangkan di atas. Berkemungkinan besar, kita akan lalui apa yang mereka telah lalui. Pelik sungguh! – kita senang hati menghampiri suatu keadaan yang orang barat sedang berusaha untuk melarikan diri daripadanya. Apa sangat yang ingin dimegahkan jika apa yang kita sedang ikuti sekarang akan membawa kepada kehancuran? Melihatkan kegawatan muda mudi sekarang, orang putih kata, ‘it’s a matter of time” untuk kita berada dalam kegawatan seperti yang dihadapi di negara barat.
Ironinya, orang Islam sendiri yang seakan pemangkin kepada "SAY NO TO ISLAM!". Kita tonjolkan budaya hiburan yang melampau, kita "angkat" mereka yang tidak mempraktikkan konsep Islam sebagai idola untuk diikuti generasi muda , kita seakan mencari kesilapan Islam dengan memperbesarkan kesilapan yang dibuat segelintir penganutnya, kita "menakutkan" generasi muda yang sedang mencari dahan untuk berpaut, dengan Islam dan sebagainya.

Monday, April 14, 2008

Isu Semasa : "FITNA" - Apa peranan media kita?

Isu Semasa : "FITNA" - Apa peranan media kita?
Kita lihat musuh Islam sememangnya konsisten dan komited dalam strategi mereka menghancurkan Islam. Malangnya, umat Islam, umumnya tidak bersatu dan serius dalam menghadapi "serangan". Begitu juga dalam merangka strategi mengukuhkan kekuatan. Saya berpendapat, media kita mempunyai peranan signifikan bukan sahaja dalam memberi penjelasan menepis dakyah musuh Islam ini, tetapi juga membantu mengukuhkan penghayatan Islam di kalangan rakyat negara ini. Ini kerana, TV boleh dikatakan ada dalam setiap rumah di negara ini. Orang media perlu tulus, ikhlas, kreatif dan sedar peri pentingnya peranan mereka. Saya suka lihat drama bersiri Indonesia bertajuk "Hidayat" (tayangan hari Jumaat), yang memaparkan pentingnya Islam dipraktikkan dan jadi "way of life". Mungkin kita juga ada drama sebegini tetapi berapa banyak dan sejauh mana keberterusannya? Kita banyak dihidangkan dengan program hiburan yang kekadang itu melampau (dari aspek pakaian dan perlakuannya). Ironinya, program-program sebegini banyak diterbitkan oleh orang Melayu, diaksikan oleh orang Melayu dan ditonton oleh kebanyakannya, orang Melayu. Kesan lambakan program-program hiburan sebegini dalam masyarakat kita ialah kita jadi sensitif (titiskan air mata) jika penyanyi kegemaran kita kalah atau kita bertepuk riang gembira melihat anak-anak muda kita terlonjak-lonjak di pentas walaupun pakaiannya menjolok mata. Pada masa yang sama, kita jadi "macam air dicurahkan ke daun keladi" bilamana ada musuh hina Islam atau Palestin/Lubnan/Iraq/Afghanistan di bom. Air tetap jatuh ke daun keladi apabila dicurah, namun ianya cepat mengalir dari daun tanpa melekat!
Nota : Dulu, anak-anak muda banyak belajar daripada orang tua. Lo ni, anak-anak muda banyak belajar daripada apa yang mereka lihat dalam TV (dan Internet). Kita tak dapat kawal internet tapi kita boleh tentukan apa yang kita tayangkan dalam TV kita. Jika TV (yang mampu kita kawal pun) kita tidak gunakan sebaiknya untuk "meneutralkan" pengaruh negatif internet, apa sebenarnya yang kita bersedia sumbangkan? Kita tentunya tak nak anak-anak muda kita jadi seperti Sufiah - ramai daripada mereka bijak pandai tapi......

Tuesday, January 08, 2008

Nok tapi tak dok...


Nok tapi tak dok...
Dalam seminggu ini dok sibuk ketiadaan minyak masak di pasaran. Masalah meruncing sampaikan catuan pembelian terpaksa dibuat - setiap keluarga (pembelian), 5 kg sahaja. Peliknya, dalam Buletin Utama TV3 (7/1/08), ada pemborong yang bawa keluar dari "bilik belakang" bertimbun-timbun minyak masak bila orang TV datang "ziarah". Antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada kekalutan ini ialah pembelian dalam kuantiti banyak oleh pembeli, penyeludupan dan simpan stok untuk tekanan naikkan harga. Beberapa langkah telah diambil seperti meningkatkan pengeluaran. Jadi, masalah ini akan selesai, insyaallah - minyak yang amat diperlukan dalam hidup, yang sekarang ini dicari dan hendak dibeli tapi tak dok, akhirnya akan ada dan boleh dibeli! Rasanya, jika harga dinaikkan hari ini, esok bertimbunlah minyak masak!

Berlainan pula dengan "benda" ini. Ianya juga perkara yang diperlukan dalam hidup tapi tidak dijual di mana-mana pasaraya, walaupun berapa banyak RM ditawarkan untuk membelinya. Cuba minta nak beli ketenangan sebanyak 5 kg di mana-mana pasaraya. Boleh dapat ke dok?