Google
 

Wednesday, January 31, 2007

"Tanah Kubur"...




Tanah kubur (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com)
Pada 26 Januari 2007, jam 2.00 petang saya tengok drama menarik bertajuk “Tanah Kubur”. Ianya mengenai seorang Datuk kaya yang meninggal secara tiba-tiba. Kisah berkisar tentang Datuk, Datin, Lan (anak tunggal mereka yang bekerja di US) dan Pak Mat (orang gaji). Saya harap banyak lagi drama sebegini ditayangkan di TV kita. Kehebatannya terletak pada mesej bermakna untuk masyarakat. Macam cerita Iran - pelakon tak ramai, tiada perkara yang tidak senonoh ditonjolkan tapi jalan ceritanya menarik dan banyak iktibar.

Gambarajah atas ialah beberapa skrip yang dapat saya ingat (lebih kurang), daripada drama "Tanah Kubur". Saya tengok drama ni dengan keluarga dan kesan cepat yang saya dapat kongsi di sini ialah apabila anak saya "lebih bersemangat" solat berbanding sebelum ini. Bila saya tanya mengapa, dia jawab, "takut bila mati jadi macam dalam cerita Tanah Kubur!"

Tentang skrip di atas, kita berdoa kepada Allah agar ianya tidak berlaku kepada kita semua.

"Marilah Menuju Kejayaan"....


Monday, January 22, 2007

Bonzai.....

Bonzai.....(http://www.negarakumalaysia.blogspot.com, 23/1/07)
Pokok bonsai di atas, saya beli lama dah. Biasalah, sekali ombak melanda, sekali pantai berubah! Masa orang sibuk cakap pasal bonsai, saya pun sibuk nak ada bonsai. Bila orang dah sunyi sepi, bonsai kita pun terbiar di satu sudut, tidak terjaga! Saya ambil gambar bonsai ini sebab saya fikir ianya boleh dikaitkan dengan kita dalam membentuk generasi muda, pewaris masa depan. Jaga bonsai ini rumit dan "mmetek" (teliti). Itupun, jika kita nak kekalkan dia dengan status quonya, renek dan kiut! Kena trim hari-hari, dari peringkat awal lagi. Jika tidak, ianya akan membesar liar tidak mengikut bentuk yang kita kehendaki. Boleh ke ia tumbuh ikut bentuk yang kita nak? Bolehhhh…kita boleh bentuknya dengan menggunakan dawai (lihat dalam gambar). Dawai berfungsi sebagai panduan tapi janganlah pula hanya letak dawai lepas 20 tahun beli! Dawai pun baru nok gi cari, dok jjadi gitu….

Dalam kes saya ni, dah lama tak tengok dan jaga bonsai ni….Baru-baru ni, semasa nak ambil gambar, saya terpegang batangnya, aduhhhhhhh…ada duri rupanya! Masa awal-awal beli dulu, ia masih kecil dan tiada duri….

Bonzai dan penjagaannya adalah analogi mudah bagi pembentukan anak dalam kontek keluarga atau generasi muda/pelapis dalam kontek sesebuah masyarakat/bangsa. Dalam kes saya, masa kecil dulu biasalah talipinggang dan gulungan suratkhabar "hinggap" atas belakang. Adik salah pun, kita yang sulung kena! Tapi kini saya tahu, yang marah ibu ayah itu bukan benci tapi tanda sayang…..kita mungkin hargai cara orang dulu-dulu hanya setelah kita hidup dalam dunia yang dipenuhi "duri-duri"!

Wednesday, January 17, 2007

Imaginasiku : Parking masa depan....


Kita dok guna user manual.....

Kita dok guna user manual...(http://www.negarakumalaysia.blogspot.com, 17/1/07)
Kita baru beli handphone (atau kamera digital) baru, yang canggih!. Sebab doh pernah pakai handphone sebelum ini dan doh lama bergantung hidup dengan handphone, kita caj baterinya ikut suka hati, walaupun ada peringatan diberikan oleh pengeluar, "jika nak jaga bateri agar tahan lama / alat berfungsi secara efektif, caj ikut panduan dalam User Manual".
Kita tak kisah dengan "User Manual" – ada sekali tengok anak conteng dan gunting buat kapalterbang / pedang / pistol. Selepas tu, ianya lesap! Ah tak kisahlah – sekejap caj dalam kereta, belum sempat dicaj sepenuhnya, kita dah cabut kabel dan caj di rumah pula, kemudian di pejabat. Handphone boleh juga diguna!
Tiba-tiba, bateri kong walaupun 6 bulan guna. Kita pun kecewa dan naik hairan. Lebih berat lagi, kita "marah" jenama atau pengeluar.
Samalah kita dalam menjalani hidup ini. Allah s.w.t dah jelaskan, Al-Quran dan Al-Hadis itu sebaik-baik "user manual" kepada manusia – tak sesat dan bermasalah jika diikuti! Tapi kita degil. Kita buat ikut suka dan rasa kita pandai. Bila ada masalah, kita menggelabah. Bagi yang sedar, kita rujuk balik kepada Pencipta atau "Pengeluar". Yang tidak sedar, kita merajuk dan makin menjauhi Pencipta. Nauzubillah! Jadi siapa yang silap ? - Tuhan, Islam atau kita?
Kita arif dengan pepatah, "Prevention better than cure". Allah s.w.t suruh guna "user manual" yang Dia sediakan sebab nak cegahlah, bukannya nak ubat! Sebab ubat ni perit, pahit dan "makan" pitih!. Jika makan ubat pada peringkat penyakit doh kritikal pun, tak guna juga. Cuba timbang tengok, kita banyak ubat ke cegah le ning?

Saturday, January 13, 2007

ANBJ1 : Anda dilantik bidan terjun jurucakap rombongan meminang

ANBJ1 : Anda dilantik secara bidan terjun, menjadi jurucakap rombongan meminang (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com)

Anda mengikuti rombongan meminang dan semasa kedua pihak sedang mula untuk berkomunikasi, secara tiba-tiba, anda dilantik menjadi jurucakap bagi pihak lelaki. Tentunya haru tetapi ini benar-benar berlaku. Bukan kepada saya tetapi kepada seseorang yang bersila di sebelah saya. Kesian juga kerana belaiu betul-betul terkejut dan nampak gugup. Tapi, mungkin disebabkan faktor usia, beliau cuba juga memainkan peranan sebagai bidan terjun dengan sebaik mungkin.
Apa yang dapat saya pelajari pada hari itu ialah:

  1. Wakil lelaki akan memperkenalkan diri selaku jurucakap pihak lelaki yang dilantik, mengucapkan terimakasih kepada tuan rumah kerana sudi menerima kunjungan mereka, nyatakan hajat datang (walaupun semua dah tahu), perkenalkan ayah dan ibu pihak lelaki, perkenalkan pihak lelaki (jika hadir).
  2. Wakil pihak perempuan akan membalas, memaklumkan butiran sama dan meminta jawapan samada pertunangan dipersetujui ataupun tidak. Kena umumkan agar semua dengar.
  3. Perbincangan mengenai hal-hal lain dibuat - tarikh perkahwinan, hantaran dan sebagainya. ada juga yang membuat keputusan, perbincangan perkara-perkara tadi dibuat kemudian/diadakan secara tertutup.
  4. Majlis sarung cincin dan doa dibacakan
  5. Menjamu selera

Trendy vs. Gilo...

Trendy vs. Gilo.. (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com)

Aduhhhh...gawatnya kita sekarang. Yang betul dikatakan salah/tidak dipraktikkan dan yang salah dikatakan betul/dipraktikkan. Hodohnya tengok anak-anak remaja Islam kita pakai seluar jean cawat pendek, ketat nampak betih dan getah seluar dalam, baju singkat nampak pusat - tapi itulah amalan sekarang! Saya lelaki pun rasa segan/malu dan tak selesa nak pakai macam tu. Apa yang cantik dan bersopannya pakaian macam tu berbanding dengan baju kurung bertudung? Allah selaku Pencipta kita tidak gariskan cara berpakaian secara suka-suka. Adalah hikmah dan kebaikan disebaliknya. Tapi kita hanyut, terpengaruh dan pilih cara hidup selain yang disarankan Tuhan. Macam nak sindir Allah s.w.t pula. Bahagian atas bertutup tudung tapi bahagian bawahnya pula dibuka...tak hairanlah datang macam-macam bala sekarang...

Wednesday, January 10, 2007

Sediakan payung sebelum hujan - pemandu wanita....

"Sediakan Payung Sebelum Hujan" - pemandu wanita (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com, 11/1/2007)
Saya nak kongsi konsep "sediakan payung sebelum hujan", dalam kontek tayar kereta pancit. Cari gambar tayar kereta pancit, tak jumpa. Jadi "belasah"lah gambar wanita orang Jepun guna payung ciptaan terbaru mereka.
Pengalaman peribadi sebenarnya. Suatu hari isteri telefon beritahu tayar kereta pancit di bandar. Nasib baik, saya pun sedang memandu di kawasan berdekatan. Apa lagi, "hero’ pun bergegas datang nak tolong "heroin". Tengok-tengok, tayar dah "nazak" betul. Kereta tak boleh dipandu langsung – terpaksalah buka dan tukar tayar spare. Tak dapat tidak, "hero" kena jadi pakar buka dan tukar tayar! Penonton ramai, maklumlah di tengah bandar Metropolitan Machang. Nasib baik tahu di mana letaknya alat tukar tayar dan di mana tayar "spare". Isteri dan anak-anak tanya, "ehem..ehem…abah tahu ke tukar tayar?" Sisshhhhh…buat saje lah apa yang patut. Alhamdulillah, tayar dapat ditukar (dalam masa macam orang lain juga le..) – isteri dan anak-anak tepuk tangan..
Apa yang saya nak kongsi di sini ialah dunia kita dipenuhi pemandu wanita dan "hero" mungkin tidak akan sentiasa ada bilamana diperlukan. Jadi kena sediakan "payung sebelum hujan!". Saya dimaklumkan oleh rakan, encik Muneer, le ni ada alat semacam penyembur nyamuk Ridsect di pasaran untuk tayar pancit. Harganya +- RM20.00 untuk sekali guna. Bila tayar pancit, picit penutup atasnya, cecair akan masuk melalui kepala tiub tayar dan tayar akan mengelembung, lubang bocor digam. Kereta boleh bergerak macam biasa dalam +-20 km. Cukuplah untuk dibawa ke bengkel. En. Muneer lupa nama alat tu dan saya kira ini berguna untuk diletakkan dalam kenderaan, terutamanya yang dipandu oleh wanita…lelaki pun kot! Sesiapa yang ada maklumat tentang alat ini – nama dan di mana nak beli, mohon kongsi.

Sunday, January 07, 2007

Bantu wujudkan pangkalan data rawatan tradisional....

Bantu wujudkan pangkalan data rawatan tradisional....(http://www.negarakumalaysia.blogspot.com, 8/1/07)
Minggu lepas saya ke rumah sepupu, ziarah anaknya yang berumur 4 tahun. Kena barah buah pinggang. Subhanallah! Cubaan berat untuk beliau sekeluarga. Saya minta beliau banyak bersabar. Selepas setahun, suatu hari anaknya kencing berdarah. Bawa ke hospital bersama sampel air kencing, dikatakan jangkitan kuman, beri ubat dan disuruh balik. Selang beberapa hari , sekali lagi kencing berdarah. Bawa sampel air kencing lagi ke hospital. Kali ini pihak hospital suruh rujuk ke HUSM, Kubang Kerian, KB. Keputusannya, barah buah pinggang tahap 4 (barah ada 5 tahap kesemuanya) – tahap tertinggi. Kimo 10 peringkat adalah treatment terbaik disyorkan pihak hospital. Semasa saya bertemu beliau, anaknya telah menjalani kimo pertama – anaknya kini keletihan, dan tidak lalu makan – keadaannya semakin lemah selepas kimo.
Ini salah satu lagi kisah masyarakat yang menyentuh perasaan saya – dekat dengan saya, ahli keluarga sendiri! Tujuan saya berkongsi kisah ini ialah untuk mengingatkan kita bahawa cubaan sebegini boleh terjadi kepada sesiapa saja – saya, anda dan kita semua! Bagaimana kita boleh bantu. Kita bantu dengan berikan maklumat. Kini, sepupu saya tu cuba dapatkan juga rawatan secara tradisional. Saya sedang cuba kumpul maklumat tentang rawatan tradisional yang mungkin berkesan. Biasanya maklumat ni, masa kita nak, dia tiada. Masa kita tak nak, macam air mengalir sampai ke telinga kita! Saya ingat nak buat pangkalan data rawatan tradisional yang ada dalam masyarakat kita. Tentunya, yang reliable. Bukannya rawatan yang minta bulu betih ahli keluarga sebagai syarat rawatan!
Salah seorang ahli keluarga lain berkongsi pengalamannya dengan rawatan tradisional. Anak beliau tertelan ubat stapler yang diketip pada pembungkus pulut lepo. Pipinya mengelembung selepas beberapa hari. Bawa kepada pakar, treatment terbaik ialah pembedahan. Malangnya, risiko tinggi sebab ubat stapler tu dikatakan telah berada dalam saraf air liur. Berdasarkan maklumat rakan-rakan, beliau bawa anak kepada anak seorang Cina kampong yang berniaga beras dalam pasar di Machang. Kami panggil Cina tu Mek Ha dan anaknya bernama Awie. Apa yang menarik minat saya ialah, Awie gunakan perubatan cara Islam. Beliau suruh baca Kulhuallah beberapa kali. Alhamdulillah, ubat stapler keluar dan pipi mengempis. Hari minggu ni, saya nak balik lagi ke Machang dan nak cuba cari Awie – nak berbual dengan beliau!
Jika tuan-puan ada pengalaman dengan rawatan tradisional, mohon berkongsi. Harapannya, ia dapat bantu sepupu saya tadi. Dengan bantu orang lain, moga-moga kehidupan kita sekeluarga sejahtera dan dibantu.

Tuesday, January 02, 2007

Hidup kita dipenuhi "trade-off"



Hidup kita dipenuhi "Trade-off" (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com, 3/01/07)


Dalam menjalani hidup, kita banyak berhadapan dengan ‘persimpangan’. Seorang rakan berkata yang hidup ini berkaitan dengan membuat keputusan – keputusan yang tepat untuk diri! Banyak ‘trade-off’ yang perlu kita buat. Kita dapat satu dan terpaksa korbankan yang lain. Salah satunya, “trade-off” antara mengumpul pitih dan mengumpul kenangan. Pastikan kita tidak hanya mengumpul pitih sehingga terlepas peluang mengumpul kenangan. Kenangan penting untuk hari depan. Ramai orang berusaha untuk kumpul pitih hinggalah pada satu hari, tersentak kerana sianak berkata, “Abah! Saya dah berumur 18 tahun”.
Hari ini dan kelmarin, ramai ibubapa hantar anak-anak Tahun 1 ke sekolah. Baguslah tu sebab ianya mungkin kecil kepada ibubapa tapi signifikan kepada sianak. Malangnya, kehidupan kita hari ini berorientasikan pitih dan tidak memberi ruang untuk ibubapa bersama anak atau anak bersama ibubapa.
  • Ada orang yang anak kecil mereka fasih berbahasa Indonesia sebab dalam sehari, masa banyak dihabiskan bersama bibik daripada ibu dan ayah sendiri. Nak salahkan ibubapa 100%? Mungkin tidak boleh juga sebab masing-masing nak cari rezeki, nak hidup senang. Zaman sekarang, mewah itu mulia!
  • Pada Hari Raya Qurban lepas, saya dengar ramai orang-orang tua mengeluh kerana anak-anak yang berada di KL tak balik kerana cuti pendek. Kalau cuti biasa tak balik, dah setahun tak balik dan kini, hari raya pun tak balik, bila boleh balik??? Cuti dan perancangan hidup, Allah serahkan kepada manusia untuk tadbir. Kelihatannya kita tadbir untuk kemusnahan diri sendiri.

Raya Qurban 31 Dis 2006 : Tukang sembelih & tukang lapah "Touch & Go"

Raya Qurban 31 Dis 2006 : Tukang sembelih & tukang lapah "Touch & Go" (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com, 3/01/07)

Kita baru sambut Aidil Adha pada 31 Disember 2006 lepas. Salah satu aktiviti utamanya, sembelih lembu. Di sini saya ingin utarakan kemahiran yang semakin pupus, iaitu tukang sembelih dan tukang lapah daging. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, profesion ini dilihat semakin mendesak. Tukang tengok dan tukang pegang kaki lembu, tiada masalah lagi setakat ini. Saya kira kena ada program berstruktur untuk wujudkan barisan pelapis. Biasanya tukang sembelih hanya datang sembelih dan bergegas ke tempat lain, untuk menyembelih di tempat lain pula. Dalam kes saya di kampong, dalam tahun ini, bukan sahaja tukang sembelih “Touch & Go” , tukang lapah pun sama! Baru mula “londehkan baju” lembu sikit, telefon tangan berdering minta bantu di tempat lain pula. Jadi tinggallah kami yang ramai, bersemangat tapi “ketakutan”. Tapi mudah juga sebenarnya bila tiada “pemantau” atau “SIRIM” ni – kami belasah sampai “baju” lembu koyak rabak dan daging yang sepatutnya 70 kilo, jadi 60 kilo! Yang tak pernah pegang pisau, yang tiada pisau/parang/golok, pisau tumpul gelenyeh (sangat-sangat tumpul) pun terpaksa main peranan. Lepas melapah, saya memandu kereta ke Metropolitan Machang. Terasa tangan lenguh-lenguh dan otot-otot lengan mengembang macam incredible hulk. Terfikir juga saya bila di Mekah, mereka qurbankan sampai 6000 ekor lembu/kambing/unta sehari. Macam mana tu???? Mungkinkah satu hari akan dicipta mesin yang boleh lapah dalam masa 5 minit????

Monday, January 01, 2007

IKLAN sambil BERAMAL di www.negarakumalaysia.blogspot.com


www.negarakumalaysia.blogspot.com bertujuan untuk membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang dan perihatin. Melalui penulisan dalam blog ini, diharapkan pelbagai sikap/nilai positif dapat disemai di kalangan ahli masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat dapat diingatkan tentang sikap/nilai negatif yang perlu ditinggalkan. Antara aktiviti kami ialah menerbitkan CAKNA, buletin (satu helai) secara berkala dan diedarkan secara PERCUMA kepada pelajar sekolah (kerjasama dengan pengurusan dan PIBG sekolah) dan pelanggan kepada usahawan/syarikat/organisasi yang menyertai kami. Kepincangan dalam masyarakat sekarang adalah disebabkan oleh kurangnya ILMU. Umumnya, orang kita biasa dengan menyuruh kepada kebaikan tetapi kurang berani untuk mencegah keburukan. Kita lihat contoh berikut:
  1. Anak jiran yang ayahnya kurang bercakap dengan tetangga sentiasa memasang lagu kuat hingga mengganggu jiran lain
  2. Anda sedang tunggu anak balik dari sekolah dan kesesakan berlaku kerana seorang bapa parking di tengah-tengah jalan masuk ke sekolah. Bapa tersebut dengan selambanya keluar dan berbual dengan rakan-rakannya. Kenderaan lain berderet di belakang....
  3. Anda dalam perjalanan ke restoran untuk makan malam bersama keluarga dan terlihat seorang anak gadis sedang berpeleseran dengan beberapa remaja lelaki. Anda terfikir "siapakah ibubapa anak gadis tersebut?", "Apakah ibubapanya tidak cakna?"
  4. Seorang rakan perempuan memberitahu anda bahawa suaminya panas baran dan sentiasa memukulnya. Beliau meminta nasihat anda.
Justeru, blog dan buletin CAKNA (sehelai) kami diharap dapat menjadi cara untuk amal makruf, nahi mungkar. Mengapa sehelai? Naluri manusia, tebal malas pegang, apatah lagi baca! Jom!!!!Sertai kami....



MENGAPA ANDA PATUT SERTAI KAMI?

  1. satu kaedah pengiklanan (di blog & buletin CAKNA), pada masa yang sama beramal (menyebarkan ilmu kepada umum)
  2. usahawan/syarikat/organisasi boleh mengedar sendiri buletin ini kepada staf, pelanggan atau masyarakat di kejiranan mereka (nota: jumlah berdasarkan perrbincangan)
  3. sebagai satu aktiviti khidmat masyarakat usahawan/syarikat/organisasi
  4. sokongan kepada usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang dan perihatin
  5. gunakan pendekatan ilmu/pendidikan dalam menyuruh kepada kebaikan dan melarang keburukan
  6. bahan dalam buletin CAKNA adalah pilihan daripada blog kami (http://www.negarakumalaysia.blogspot.com). Blog kami dan buletin CAKNA dijamin tidak mengandungi unsur-unsur yang berlawanan dengan tema kami iaitu "KE ARAH MASYARAKAT PENYAYANG & PERIHATIN"


BAGAIMANA UNTUK SERTAI KAMI?
1) Email butiran berikut kepada admin@geeaccounting.com :

  • nama perniagaan/syarikat/organisasi
  • aktiviti utama
  • No. telefon, no. faksimili dan alamat email
2) Buat pembayaran RM60 (untuk jangkamasa SETAHUN)

RM60 adalah untuk caj pengiklanan dan kos percetakan buletin CAKNA selama setahun. Penglibatan ramai usahawan/syarikat/organisasi akan membolehkan buletin ini diterbitkan sekerap mungkin dan kepada seramai mungkin pembaca.




PERTANYAAN
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Gee di 019-957 2234 / 019-917 3234 atau email kepada admin@geeaccounting.com