Dalam menjalani hidup, kita banyak berhadapan dengan ‘persimpangan’. Seorang rakan berkata yang hidup ini berkaitan dengan membuat keputusan – keputusan yang tepat untuk diri! Banyak ‘trade-off’ yang perlu kita buat. Kita dapat satu dan terpaksa korbankan yang lain. Salah satunya, “trade-off” antara mengumpul pitih dan mengumpul kenangan. Pastikan kita tidak hanya mengumpul pitih sehingga terlepas peluang mengumpul kenangan. Kenangan penting untuk hari depan. Ramai orang berusaha untuk kumpul pitih hinggalah pada satu hari, tersentak kerana sianak berkata, “Abah! Saya dah berumur 18 tahun”.
Hari ini dan kelmarin, ramai ibubapa hantar anak-anak Tahun 1 ke sekolah. Baguslah tu sebab ianya mungkin kecil kepada ibubapa tapi signifikan kepada sianak. Malangnya, kehidupan kita hari ini berorientasikan pitih dan tidak memberi ruang untuk ibubapa bersama anak atau anak bersama ibubapa.
- Ada orang yang anak kecil mereka fasih berbahasa Indonesia sebab dalam sehari, masa banyak dihabiskan bersama bibik daripada ibu dan ayah sendiri. Nak salahkan ibubapa 100%? Mungkin tidak boleh juga sebab masing-masing nak cari rezeki, nak hidup senang. Zaman sekarang, mewah itu mulia!
- Pada Hari Raya Qurban lepas, saya dengar ramai orang-orang tua mengeluh kerana anak-anak yang berada di KL tak balik kerana cuti pendek. Kalau cuti biasa tak balik, dah setahun tak balik dan kini, hari raya pun tak balik, bila boleh balik??? Cuti dan perancangan hidup, Allah serahkan kepada manusia untuk tadbir. Kelihatannya kita tadbir untuk kemusnahan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment