Semasa saya ke KL atas urusan kerja, saya berkongsi bilik hotel dengan seorang rakan. Bangkit dari tidur, rakan saya memberitahu, "Zif, demo kena bersyukur sebab demo dikurniakan Tuhan anugerah ini!". Saya kebingungan dan bertanya, "Anugerah apa?" Jawab rakan tersebut, "Anugerah mudah lelap!. Semalam kawe timing demo letok saja kepala, tak sampai dua minit, krohhhhhh...krohhhhhh..." Pagi itu, saya baru ketahui yang rakan saya itu sukar untuk tidur malam. Katanya, kekadang berpusing kiri kanan berpuluh kali, mata lip lap lip lap, sampai berjam berbaring baru dapat tidur. Pagi itu juga baru saya sedari bahawa saya amat bernasib baik (dalam aspek tidur) berbanding rakan saya tadi. Balik daripada KL, saya ke hospital menziarahi anak seorang rakan lain yang terlibat dalam kemalangan - kepala lututnya tercabut!
Saya juga menziarahi anak saudara seorang kenalan berumur 2 tahun yang terlantar di hospital kerana masalah usus. Sebelum pulang dari hospital, saya terserempak dengan seorang lagi kenalan yang datang menjaga ibunya yang mengidap penyakit kencing manis. Katanya apabila saya menanyakan keadaan ibu beliau, "dah berbulan saya ulang-alik ke sini, hari-hari! Minggu lepas dah potong jari. Hari ini doktor kata nak potong peha pula!" Kerisauan jelas terbayang di wajahnya. Dua tiga hari ini saya ditemukan dengan penyakit dan mereka yang bermasalah - saya jelas tentang hikmahnya dan bersyukur mendapat peringatan ini. Kita banyak merungut dalam menjalani kehidupan dan dalam banyak kes, seperti kata orang putih, "take things for granted". Kita tak sedar yang kita sudah cukup bernasib baik!
No comments:
Post a Comment