Google
 

Tuesday, October 31, 2006

Ubi kayu rebus, Makcik & Air

Ni cerita musim tengkujuh tahun lepas, 2005 tapi saya nak kaitkan dengan isu semasa. Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya singgah di Kuala Besut. Saya cari ikan sungai dan ubi kayu. Jumpa la ikan kasam (ikan jeruk) dan ubi kayu. Isteri saya terkejut bila makcik penjual beritahu harga ubi kayu seplastik besar hanya RM2.00. Masa kami berhenti, hujan turun renyai-renyai dan makcik tu menjual di gerai yang hampir roboh, di depan rumah beliau yang dipenuhi air banjir. Saya ingat nak ambil gambar, tapi tak sampai hati, takut makcik terasa - "kesukaran aku kegembiraan bagi orang lain"! Anak saya kata makcik tu seksi sebab kain sedikit terselak dan basah kuyup kena hujan. Baru balik menggali ubi gamoknya. Beliau tidak pula menaikkan harga barangan apabila melihat kereta 'orang luar' berhenti di depan gerai. Jauh sekali mengambil kesempatan apabila kita kata "keep the change" - beliau bersungguh-sungguh mencari duit 'cucur' (wang kecil untuk duit kembali)."Nati, Nati, ado, ado! dok tahu dok diwana! Aloh, kalu kito nok gak, dok jupo lah", makcik membebel! Itulah kehidupan orang kampung dan kehidupan kampung - naif dan mudah!
Itulah sebabnya bila minyak naik, gula naik dan kini air pula nak naik harga (laporan Buletin Utama, 31/10/06), saya kesiankan orang kampung macam mak cik tadi. Walaupun perit tapi mereka belebel (merungut) setakat dalam hati sahaja!. Mereka akan cuba adjust! Kerana apa? Kerana mereka manusia naif dan mudah. Kesan kenaikan kepada kita dan makcik tadi tentunya berbeza kerana kita gajinya berapa dan makcik tadi "gaji"nya berapa?

Kreatif_Papan tanda kubur To'Ku Chabang 3

Ini kawasan tanah perkuburan Kg. To' Ku Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Apa yang ingin dikongsi di sini ialah papan tanda kebanyakan kuburnya yang seragam dan kemas. Label hitam dengan tulisan putih, dibuat daripada bahan macam plat kereta tu, dilekat pada batang besi dan dipacak dalam setiap kubur (lihat gambar sebelah). Jadi anak cucu yang datang ziarah setahun sekali tak tersilap baca doa/yasin di kubur orang lain. Pernah jadi keeee???? (Jawab : Ehem! ehem!, dok ehhh...). Tapi kata sahabat saya Che Amri Sulong, dalam cerita P Ramlee, "Kassim Selamat" ada...
Sahabat seorang lagi, PM Mejar ustaz Zaid Ngah pula kata, tiang tu tak boleh buat dari besi takut nanti ada "hantu" besi datang ambik! "hantu" besi dia tak kira, rumah orang ke, kubur orang ke, semuanya dia kebas!
Saya ingat badan-badan korporat orang Islam kita boleh sponsor papan tanda tanah perkuburan begini, di tempat mereka beroperasi. Kalau boleh kawasan kubur di kampung-kampung jauh dari bandar sikit! Lepas tu letok dalam laporan tahunan syarikat mereka. Biar nampak syarikat berwawasankan akhirat sikit. Ke guano?

The Fisherman

The Fisherman (http://www.givetogetmarketing.com/motivation.html?fl#articles)
A fisherman observed a snake swimming towards his boat. When the snake reached the boat the fisherman could see that he had a frog in his mouth. Feeling sorry for the frog he reached down and carefully removed the frog from the snake’s mouth and set it free. But then, feeling sorry for the snake he looked around to see what he could give him. He found a bottle of bourbon, poured a capful and gave it to the snake. The snake then swam away. The fisherman was feeling content from his good deeds when about ten minutes later he heard a knocking at the side of the boat. When he looked over the side he saw the snake had returned . . .this time with "two" frogs in his mouth.

Pengajaran :
Ini biasa kita temui dalam kehidupan. Kita beri apa yang dikehendaki oleh manusia dan mereka akan datang dan lagi...dan lagi....dan lagi! Kadang-kadang, bawa sekali pula "geng-geng" mereka.

Monday, October 30, 2006

Imaginasi saya (1) - Baca email & Pantau anak!

Imaginasi saya (1) - suatu hari nanti saya bayangkan perkara-perkara ini berlaku :
  1. Baca email melalui kaca spek mata
  2. Setiap kanak-kanak diletakkan cip (samada implant ataupun sebagai pin dilekatkan di subang ke..jam ke..) dan dikesan oleh ibubapa melalui sistem Global Positioning System (GPS). Konsepnya macam nelayan mengesan tempat banyak ikan menggunakan GPS.

"Kereta besar hati kecil"

Pagi ini dalam perjalanan ke pejabat bersama rakan, saya terpaksa berhenti buat seketika kerana sebuah kereta besar berada di tengah-tengah jalan. Ingatkan kerbau negeri sembilan sahaja yang tercegat di tengah jalan menghalang perjalanan teksi (spt. dalam iklan raya di TV). "Ooooo..tak ade apa-apa encik, kereta besar lentang jalan" Mana pemandunya? Oooooo…agaknya yang sedang membeli suratkhabar di kedai tepi jalan tuuuu…...Eiikkk..lamanya ..berbual mesra dan bergelak lagi…kereta menghalang laluan orang dan orang sedang tunggu kita….berapa lama tunggu ni…lamalah juga sehingga terpaksa buat keputusan ambil risiko - laluan Camel Trophy di bibir longkang! Alhamdulillah lepas! Pemandu kereta besar lihat dengan tenang. Tak senyum dan angkat tangan punnnn..tak apalah…Agaknya memang macam ni caranya – kereta kita kecil kenalah mengalah dengan kereta besar! Teringat suruhan Tuhan tentang membuang duri di jalan untuk kesenangan orangramai. Pengajaran : Kalau kereta kita ditakdirkan besar suatu masa nanti, ingat jangan buat kereta kecil sebegitu!

Saturday, October 28, 2006

Ibubapa....

Jumaat, 27 Oktober 2006 bersamaan 4 Syawal 1427H. Khutbah Jumaat di masjid To’Ku Chabang Tiga membicarakan perihal besarnya jasa ibubapa yang tidak harus dilupakan oleh anak. Jadi kali ini saya nak bincang pasal ibu ayah. Saya percaya perbincangan mengenai ibu dan ayah menyentuh banyak hati. Sebagai seorang anak, saya kira kita banyak menyusahkan daripada menyenangkan kedua ibubapa kita. Ini saya lihat dari kronologi berikut:

1)Sembilan bulan dalam perut dikendung ke sana ke mari. Bagi ibu yang bekerja, naik tangga turun tangga, aduhhhhhhh…beratnya!
Semasa lahir, nyawa jadi taruhan. Ada ibu yang meninggal ketika melahirkan anak. Isteri saya “berkampung halaman” di wad selama 2 bulan sebelum melahirkan anak kedua kami.
2)Bila dah lahir…..bercekang mata pula menjaga. Ada anak yang jenis menangis (macam histeria) siang malam sampai jiran fikir ibubapa dera bayi!. Ada yang berpenyakit tapi ibu dan ayah sanggup juga pelihara, ikhtiar cari ubat sana sini.
3)Sekolah rendah, kita hanya tahu minta duit! Anak-anak zaman sekarang lagi dahsyat – dah pandai buat permintaan yang mencabar, terutama bagi ibubapa yang tiak berkeupayaan. Pantang keluar di TV atau tengok anak jiran ada, dia pun nak! Bila tidak dipenuhi, ibubapa dipersalahkan. Zaman lo ni zaman minta handphone, playstation, scooter, pocket bike dan bukan lagi kasut/baju sukan, baju rumah sukan, buku garis 3, pensil warna LUNA, beg 4 persegi pppetok!
4)Bila dah sekolah menengah, ada yang masuk asrama – balik sekali sekala saja ke rumah. Cuti pendek, lebih sanggup ke rumah kawan. Cuti panjang, balik kampung tapi payah nak lekat kat rumah! Habis SPM (kalau habis/dapat keputusan ok!), tak sempat duduk lama di rumah, terus masuk universiti.
5)Bila dah jadi pelajar universiti, balik kampung lagilah jarang sebab dah pandai jalan-jalan bersama rakan. Bagi yang keluar negara pula, setahun sekali balik atau ayah ibu meninggal pun tak dapat balik. Masa saya dulu pinjaman pelajaran tak semudah sekarang! Tiada PTPTN macam lo ni. Dulu tak cukup duit, minta dengan ibu ayah di kampung. Sekarang, dah ada PTPTN lain pula halnya – asyik tukar handphone atau hidup macam orang dah bekerja!
6)Dah tamat belajar, terus cari kerja, biasanya tidak di kampung halaman. Masa baru berkerjaya, sesetengah daripada kita masih menyusahkan ibu bapa – pinjam duit beli kereta atau “pinjam” kereta – ibu ayah di kampung tak kisah, naik motor atau bas atau basikal pun tak apa, anak punya pasal!. Bagi sianak pula, biasalah, pinjam mudah, bayarnya payah!
7)Seterusnya, apa lagi….kahwinnnnnnnnn. Masa ini pun ada yang masih minta bantuan kewangan daripada ibubapa untuk belanja hantaran dan majlis perkahwinan. Orang muda kahwin, terus dapat anak – “bunting pelamin” kata orang. Nak cari pembantu sukar dan mahal pada tahun-tahun awal berkerjaya. Jadi, senangnya kita export anak kita ke kampung untuk dijaga oleh ibubapa kita. Jika tidak pun, sekali-sekala jemput ibu ayah datang tinggal dengan kita semata-mata untuk jaga anak kita.
8)Bila dah kerja, berkeluarga, faham-faham sajelah….”tak dapat cuti”, “isteri/suami pula tak boleh cuti”, “anak sekolah/fardhu ain”, “terpaksa ikut outing syarikat” adalah antara alasan kita untuk tidak pulang ke kampung menziarahi orang tua!
9) Bila ibubapa meninggal pun (sesetengah kes), anak-anak masih menyusahkan - berkelahi berebut harta pusaka!Ayah ibu dalam kubur juga yang terseksa.

Jadi berapa lama sebenarnya yang kita hidup produktif dengan ibu ayah? Atau kalau boleh dibuat pengiraan, cuba kita kira dan banding jangkamasa ibu ayah bantu kita dengan kita bantu ibu ayah. Kehidupan sekarang mengajar kita pandang remeh atau buat kita mudah alpa tentang tanggungjawab kepada ibu bapa – tanggungjawab dirasakan sudah terlaksana dengan balik raya setahun sekali, masuk duit dalam akaun, telefon bilamana sempat dan ingat (atau suruh anak-anak saja telefon ibu ayah kita di kampung).

Thursday, October 19, 2006

Aku nak kereta Mercedez/BMW/Ferari/Bas/Lori....


Kita banyak minta agar impian kita dimakbulkan Tuhan. Impian dari perspektif kita sebagai manusia. Bila tak dapat, kita kecewa. Kekadang tersangat kecewa hingga….
Jika ini berlaku, kita perlu cari cara untuk pujuk diri sendiri. Salah satu cara berkesan nak pujuk diri adalah dengan “tonton siaran ulangan”. Hidup ini pada saya ada siaran langsung dan siaran ulangannya. Jika kita tidak berpeluang menonton siaran langsungnya, kita ada siaran ulangannya. Tapi, biasanya kita tak berapa minat dengan siaran ulangan. Banyak perkara yang berlaku pada kita sekarang pernah berlaku kepada orang dulu-dulu. Jika kita baca, fahami dan kaji, kita boleh buat panduan. Jika tidak, kita mungkin ulangi lagi kisah dulu…

Teringat saya kisah Tsa’labah bin Hathib yang mohon Nabi s.a.w doakan beliau agar peroleh kekayaan. Nabi s.a.w mengatakan yang mungkin kekayaan itu nanti akan merosakkan dia tetapi Tsa’labah terus mendesak! Akhirnya, Nabi s.a.w bersetuju mendoakan beliau. Kambingnya sangat membiak dan dia jadi kaya raya. Keinginannya tercapai. Namun Tsa’labah lupa janjinya dan menolak zakat. Dia dicemuh melalui ayat berikut:

“Dan di antara mereka ada yang telah berjanji kepada Allah : Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, nescaya kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang salih. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian darikurniaNya, mereka kikir, lalu berpaling dan memanglah orang yang membelakangi (kebenaran). Maka Allah menimbulkan kemunafiqan dalam hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri Allah dan kepada apa yang mereka janjikan kepadaNya dan apa yang mereka selalu dustakan.” ~ At-Taubah: 75-77

Nasi sudah jadi bubur. Zakat Tsa’labah ditolak oleh Rasullullah s.a.w, Sayyidina Abu Bakar r.a dan Sayyidina Umar r.a

Nak kesan atau kawal anak/remaja...


Dengan kekuasaan dan anugerah Tuhan, manusia menjadi semakin berilmu dan berakal. Saya pernah tengok dalam program TV3, demonstrasi microchip dimasukkan dalam kulit kucing hidup sebagai pengenalan dan untuk tujuan pengesanan. Cara memasukkan cip tersebut mudah dan cepat - rasanya 30 saat saja! Sakit? No idea tapi kucing tu rilek saja - ubat bius digunakan. Mungkinkah kaedah yang sama akan digunakan kepada manusia? Kepentingannya? Mungkin ibubapa boleh tahu jika anak hilang, bila dan ke mana hilangnya! Berapa kali masuk disko atau ditahan polis, atau sebagainya. Global Positioning System (GPS) digunakan oleh nelayan untuk menanda dan mengesan kawasan banyak ikan dilautan luas, digunakan untuk tujuan pemetaan (oleh polis ataupun pengeluar kereta mewah, misalnya). Ianya tak mustahil digunakan kepada manusia. Sebabnya, susah sangat nak 'baca' dan kawal manusia sekarang ini. Tapi banyak perkara perlukan jawapan, misalnya aspek keagamaan, privacy, kesihatan dan lain-lain.

Dulu & Kini : Keibubapaan

Antara "sayangkan anak, tangan tangankan" dan "sayangkan anak timang timangkan". Apa nak dikata, orang tua dulu dikatakan lebih keras dalam mendidik anak-anak mereka berbanding ibubapa sekarang. Dulu, tak sukar nak cari rotan dalam rumah. Tak ada rotan, tali pinggang dan gulungan suratkhabar pun jadi. Sekarang, dalam rumah ada macam-macam kecuali rotan. Dulu, jika anak di rotan dis ekolah kerana tak boleh hafal sifir, balik rumah kena tibe (pukul) lagi oleh siayah. Sekarang, anak-anak jangan disentuh atau diusik!Namun, anehnya, dulu "Pusat jagaan orang tua" jarang didengar. Sekarang dah tumbuh macam cendawan. Di Dungun, bandar kecil ini pun dah ada Pusat jagaan harian Orang Tua (di Kuala Dungun). Masa depan tak tahulah guano ceritanya. Kita sedang bentuk kehidupan dan masyarakat yang macam mana sebenarnya ni? Kita sentiasa fikirkan ubat untuk penyakit tetapi tidak berusaha mencari kaedah mengelak penyakit walaupun hakikat "Prevention better than cure" tu semua orang akui betul!

Betul ke kita sedang amalkan apa yang kita percayai? Jika tidak.......takut takut di masa depan ada ramai lagi Lina Joy!

Wednesday, October 18, 2006

Halaju minima?????


Musim raya kembali lagi. Berita kemalangan jalanraya hebat mungkin akan kedengaran lagi. Pun begitu, kita berdoa kepada Allah s.w.t agar tiada lagi kisah sedih di Aidil Fitri, untuk kita dan sesiapa saja! Salah satu usaha ialah menetapkan hadlaju 80 km/j. Insyaallah, saya harap ini berkesan. Saya dengar polis peronda tidak akan tunggu lagi tetapi operasi "mobile speed trap" pula - kereta anda akan dikejar dan ditahan jika melepasi hadlaju. Benar atau tidak, tidak pasti. Itu yang saya dengar. Tapi apa yang saya nak bincang di sini ialah masalah "SLOW GILE!", terma orang muda le ning kot!

Bagi saya, pemanduan terlalu perlahan ini umpama hos pembawa kuman. Apa tu orang panggil, "carrier"??? Dia tak bahaya tapi membahayakan orang lain. Orang lain di belakang akan cuba memintas dengan apa cara sekalipun, sanggup ambil risiko. Ada yang terjulur ke kirilah, terjulur ke kananlah, cilok sana cilok sini dan himpit sana sini!

Apa tidaknya, dah memandu selama 6 jam, kereta powerrrrrrr pulak tu...tiba-tiba kena ikut buntut dan "berkonvoi" pula dengan kereta yang dipandu 10 km/j, di jalan besar (Persekutuan). Kalau kereta Mr. Bean atau kelisa TAL 2??? (ehem..ehem..) atau kereta orang cacat tayar tiga atau kereta kura yang separuh abad atau kereta Mercedez dipandu pok umur 75 tahun (inipun dipersoalkan kewajarannya), tak apalah. Ini, kereta baru, comel dan dipandu oleh orang muda..Apa ke hal!!!


Soalan : Agak-agak apa sebab kereta baru dipandu orang muda terlalu perlahan hingga membahayakan pula orang lain?

Tuesday, October 17, 2006

Sikap : Aku, aku dan aku!!


Islam mengutamakan penganutnya mengambilkira kepentingan ramai dan tidak hanya diri sendiri. Dalam hidup berjiran misalnya, seseorang akan dilaknat jika dia nyenyak tidur kekenyangan sedangkan ada jiran yang menderita kelaparan. Dalam solat juga, imam tidak boleh syok sendiri baca surah panjang - perlu mengambilkira jemaah yang tua dan uzur, tidak boleh berdiri lama! Namun, ada yang tidak faham, hanya mementingkan diri sendiri! Bagi orang sebegini, asal dia senang sudah. Orang lain, "aku tak kisahhhh..". Dalam Islam, perkiraan bukan sahaja perlu dibuat berkenaan hubungan manusia dengan Tuhan tetapi juga berkenaan hubungan manusia dengan manusia atau makhluk Tuhan yang lain.

Sunday, October 15, 2006

Saturday, October 14, 2006

Nilai pada masyarakat...

Kereta volkswagen (atau sesetengah orang panggil, kereta "kura") di atas kepunyaan dua rakan sekerja saya. Ianya nampak sama tapi tak serupa, macam manusia, "rambut sama hitam tapi hati lain-lain" - yang di kiri nampak lebih "jangok" (cantik) berbanding yang di kanan. Coretan saya lebih fokus kepada yang di kanan kerana selain tuannya, hanya saya yang sanggup naik kereta itu (pengakuan daripada tuannya sendiri). Bila masuk, nyamuk akan berterbangan, kekadang sampai masuk lubang hidung kita! Kelainannya bukan hanya pada warna tetapi juga "suara"nya - bong...bong...bong...sebatu dah didengari bunyinya dan tahulah kita siapa sudah datang - kereta kuning! Pernah satu ketika semasa saya menaikinya, "mata"nya terjatuh di atas jalan. Rakan saya memberhentikan kenderaannya dan saya turun kutip "mata" yang jatuh! No problemo!


Fokus perbincangan saya kali ini bukannya kereta kuning tetapi hati manusia zaman sekarang yang kuning dan berdebu! Pernah suatu ketika, semasa saya bersama tuanpunya kereta kuning sedang makan di warung, kami didatangi oleh seorang lagi rakan sekerja (wanita) yang dengan selambanya berkata, "Wei...tukarlah kereta tu! Dok padan dengan u! Kita ni kena jaga juga status/imej". Saya dan rakan saling berpandangan dan kami bersetuju, nadanya bukan nada gurauan! Kawan saya lantas menjawab, "ilmu dan nilai bukan terletak pada kereta!" Saya hormat prinsip yang dipegang oleh rakan pemilik kereta kuning. Katanya, "aku berpuas hati dengan kereta ini kerana tidak banyak mendatangkan masalah. Walaupun buruk, tanpanya, aku patah kaki". Saya setuju dengan beliau - setakat ini, kereta kuningnya boleh ditinggal di mana saja dengan kuncinya sekali tanpa disentuh. Masalah dihimpit kereta lain di jalanraya tak timbul kerana kereta lain seakan "memberi laluan". Tambah rakan saya lagi, beliau hanya tukar minyak hitam 6 bulan sekali.

Masalah dengan masyarakat kita secara umumnya ialah mementingkan pandangan orang lain daripada diri sendiri. Masyarakat kita juga hanya lihat luaran dan tidak dalaman. Asalkan berkereta besar, berpakaian kemas dan bertali leher, terus bagi tabik hormat tanpa banyak soal. Masyarakat kita masyarakat kebendaan - yang kaya itu mulia, yang miskin itu hina! Kami bercadang nak berbasikal ke tempat kerja. Walaupun objektif utamanya untuk kesihatan tapi kami juga ingin tengok apa masyarakat kata. Di negara maju seperti di UK, profesional berbasikal ke tempat kerja sudah menjadi kebiasaan. Tidak menjadi buah mulut, tiada isu imej/status. Malah tiada yang peduli pun! Ada yang pikul basikal mereka sampai ke dalam pejabat (disebabkan masalah keselamatan). Masyarakat kita juga terkenal sensitif dengan perubahan, walaupun untuk kebaikan! Atau lebih tepat saya katakan..malas nak berubah! Cepat dan mudah selesa!

Mileage kereta vs. Mileage Otak!

Sahabat saya, Jamalludin Helmi Hashim (JHH) sedang mencari kereta terpakai. Katanya nak beli kereta bersaiz besar sikit kerana keluarga dah besar. Antara sumber utama yang beliau gunakan ialah staronline.com. Salah satu aspek yang dilihat apabila menilai sesebuah kereta terpakai ialah perbatuannya ataupun mileage– berapa jauh dah kereta tu dah “berjalan”. Mileage tinggi maknanya kereta kuat “berjalan” dan kadar penggunaan tinggi. Biasanya pembeli lebih tertarik kepada kereta yang mileagenya rendah. JHH kata mileage otak manusia dok leh gitu! Mileage otak perlu pergi sejauh mungkin. Lagi jauh lagi baik! Maknanya banyak fikir atau berfikiran jauh! Kalau dah hidup lama tapi mileage rendah, asyik berfikiran singkat atau tak banyak digunakan, nilainya rendah.
Jadi saya nak tanya satu soalan: Otak terpakai (andaikan tahun yang sama) orang Jepun dengan orang Malaysia, mana lagi mahal ? Grafik otak ini dipinjam drp.www.psyweb.com/Brain/ Bimages/brain001.gif

Friday, October 13, 2006

Yang di dalam perlu lebih besar dari yang diluar

Kisah 1- Seorang Raja mengeluarkan wang yang banyak untuk membina sebuah masjid. Apabila siap, baginda ingin menamakan masjid tersebut mengikut namanya kerana beliau telah banyak membelanjakan wang untuk pembinaannya. Beliau bermunajat meminta petunjuk dari Allah s.w.t. Selama 3 malam berturut-turut, beliau bermimpi yang masjid itu perlu dinamakan mengikut satu nama yang bukan namanya. Selepas diselidik, nama itu milik seorang fakir di negerinya. Setelah ditanya, sifakir menafikan beliau ada beri sumbangan besar kepada masjid, al maklumlah beliau hanya seorang fakir miskin. Setelah didesak oleh raja dan beliau puas berfikir, sifakir akhirnya teringat yang beliau pernah memberi minum seekor kaldai yang teruk membawa muatan berat semasa pembinaan masjid tersebut. Hanya itulah perkara yang dilakukannya berkaitan dengan masjid terebut! (sumber: sudut Tazkirah Radio KT, 1.30 tghari, 5/10/06)

Kisah 2 - Semua orang kenal siapa itu Bilal bin Rabah Al-Habsyi – tukang bang semasa zaman Nabi s.a.w! Bilal berkulit hitam, hodoh dan kasar suaranya. Namun, beliau begitu menjiwai tugasnya hinggakan sekarang kita panggil tukang bang itu “Bilal” atau “Tok Bilal”. Kalau tak silap, tukang bang dipanggil “muadzin”. Satu ketika, seorang pemuda yang bersuara lunak merdu dipilih menggantikan Bilal yang jatuh sakit dan tak dapat azan. Pemuda tersebut dengan bangganya melaungkan azan dan jamaah jadi terpegun mendengar kemerduan serta kelunakan suaranya. Ramai yang memuji beliau. Beliau merasa bangga dan ingin menggantikan Bilal walaupun selepas Bilal sembuh dari penyakitnya. Keesokan harinya, datang malaikat berjumpa Rasulullah s.a.w, bertanyakan mengapa telah tidak kedengaran azan berkumandang sejak semalam. Selalunya, bila azan dilaungkan, bunyinya jelas dan menggegarkan arasy! (sumber: sudut Tazkirah Radio KT, 1.30 tghari, 5/10/06)

Thursday, October 12, 2006

Pokok Semalu & Wanita

Banyak yang dapat kita pelajari daripada tumbuhan semalu yang kecil ini rupanya. Rasulullah s.a.w menasihati puterinya Fatimah dengan mengatakan bahawa wanita sinonim dengan pohon semalu ini. Baginda menyarankan wanita mengambil pengajaran dari empat aspek:

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya). Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim. Ketiga, semalu juga menpunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin. Dan akhir sekali semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu,para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Kata kawan saya, Kak Jah, pokok semalu juga boleh dijadikan ubat. Beliau diberitahu oleh neneknya yang semalu boleh dibuat ubat buasir. petuanya: Ambil daun pokok semalu, sedikit beras dan sedikit ibu kunyit digiling halus atau hingga lumat. Tampal di buasir tersebut dan InsyaAllah akan menguncup seperti kuncupnya daun semalu tersebut.

Seorang rakan saya pula, Dr.Pisol Maidin, mengatakan:
Orang Kedah panggilnya "keman". Ada sekurang-kurangnya dua spesies keman, iaitu keman duri dan keman air. Keman duri (yang berduri) , hanya digemari oleh kambing. Yang dibuat sayur lemak atau direbus dan dicicah sambal/budu ialah keman air. Saiznya lebih besar dan tidak berduri. Rasanya Sedap; rasa-rasa lemak . Sayangnya belum saya temui di Terengganu.

Foto di atas dipinjam dari http://darling.fotopages.com/?entry=708062

Sikap negatif orang kita : Tong sampah penuh rumbu!

Ni satu lagi sikap negatif orang kita. Pernah satu ketika, kita "kemarau" tong sampah. Kini dah ok, terutama sekali di kawasan taman tempat saya tinggal - ada tong sampah bertayar bersaiz kecil di merata tempat. Terserlah pula sikap negatif orang kita - isi tong sampah sampai "penuh rumbu", melimpah ruah! Jarak tong sampah dalam gambar di bawah dengan tong sampah seterusnya tak sampai 100 meter, tapi nak sumbat juga dalam tong sampah yang dekat dengan dia. Mungkin alasan minyak naik nak jimat minyak kereta/motor untuk ke tong sampah seterusnya kot! Tu, tak cerito lagi hal letak sampah atas bonet kereta (tak nak cium bau sampah sendiri), jatuh depan rumah orang, terburai isi perut (sampah), pura-pura brekkkkk...dan decung gi tanpa turun kutip. SAMA-SAMA LAH KITA UBAH SIKAP NEGATIF INI

Sunday, October 08, 2006

Jangan biarkan kita dan generasi akan datang berada dalam kejahilan..


Esok, 10 Okt 2006 bersamaan 17 Ramadhan 1427H, kita akan menyambut Nuzul Quran. Penerangan mengenai Nuzul Quran (dipetik dari http://www.msdwdc.org) :

Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud:

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.

‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Sikap negatif orang kita

Pernah tak anda berada dalam keadaan ini?
Anda sedang memandu dan berada di belakang sebuah kereta (bukan kereta lama atau buruk atau dok rok) yang dipandu agak perlahan, sedangkan di depan kereta tersebut “clear”, tiada kenderaan lain. Selepas seketika, anda cuba memotong kereta tersebut. Malangnya anda menghadapi sedikit kesukaran kerana secara tiba-tiba, kereta itu meluncur laju, pemandunya seakan-akan tidak ingin memberi peluang untuk anda memotongnya!

Senario di atas sebagai analogi sikap sesetengah orang kita - mudah selesa dengan kedudukan sedia ada tanpa mempunyai kehendak untuk memajukan diri, sehinggalah...... jika ada rakan yang ingin maju ke depan, sokongan tidak diberikan! Sesetengah orang kita hanya bertindak bila ada tekanan, seperti peribahasa, " macam pahat dengan penukul". Keadaan ini, saya lihat wujud dalam masyarakat Melayu profesional, pelajar dan juga usahawan. Saya berpendapat keadaan ini terhasil dek perasaan dengki yang menebal di kalangan orang Melayu terhadap sesama sendiri. Tak senang tengok rakan pelajar rajin belajar dan berjaya, tak senang tengok rakan sekerja bekerja sungguh-sungguh dan berusaha meniti tangga kerjaya dengan cepat, tak senang tengok rakan usahawan mengadakan pelbagai strategi meningkatkan jualan/perkhidmatan dan menjadi tumpuan ramai pelanggan. Kadang-kadang rasa pelik - sifat yang perlu ada pada orang islam, dipraktikkan oleh orang bukan Islam !!!!!!

Saturday, October 07, 2006

Dulu ratusan, kini puluhan tapi kita tetap diberi peluang...

Allah s.w.t Maha Adil. Umat sebelum Muhammad s.a.w, umur mereka panjang hingga sampai 900 tahun. Umat Nabi Muhammad s.a.w pula hanya setakat 70-80 tahun sahaja. Ditambah sekarang, zaman Mat Rempit, kebarangkalian mati cepat lebih tinggi! Prengggg..prenggg...pruk!

Pun begitu, Allah kurniakan kepada umat Muhammad s.a.w satu malam dalam bulan Ramadhan iaitu, malam Lailatul Qadar . Satu malam yang amalannya lebih baik daripada seribu bulan (surah Al-Qadr). Dalam erti kata lain, umur umat Muhammad s.a.w “dipanjangkan” dalam satu malam sahaja. Bila malam tersebut? Itu misteri. Kata kawan saya, "sesuatu itu menarik selagi ianya misteri!".Jadi, kalau nak, kena usaha cari. Pilihan sendiri. Ini “sole proprietorship” bukan partnership! - rugi atau untung, sendiri tanggung! Terlepas tahun ini, tahun depan belum tentu dibenar tunggu...Ni pun, dah bertahun-tahun diberi peluang! Umur dah dekat bbbuka posa!

Orang sebut, kita sebut tapi tak pernah cari!Tahun ini, insyaallah, kita pppakat usaha bui...beleh butir mata pun biarlah - hanya 10 hari dalam 365 hari!Kalau tidak, macam mana kita nak tandingi umat dulu yang peluang mereka ratusan dan kita hanya puluhan...

Thursday, October 05, 2006

Kehidupan pada umur 65....

Sekarang, sekolah akan naik banner minta ibubapa daftar awal anak-anak mereka untuk persekolahan - kalau last minute, takut penuh dan berbolok! Akan datang, saya rasa pusat-pusat jagaan harian atau rumah jagaan orang tua juga akan naik banner yang sama - ibubapa sila daftar awal kemasukan ibubapa mereka!

Pelik dan tak logik??Ehhh...kalau tengok kepada trend sekarang, tidak mustahil bukan! Semua orang sibuk dan nampaknya tiada masa nak jaga ibubapa mereka yang dah tak bersekolah tu...dan kadang-kadang dah sampai tahap pakai lampin semula tu.....kencing dan berak merata macam budak-budak balik! Saya bagi contoh di Dungun ini. Bandar kecik ni pun dah dibuka rumah jagaan harian orang tua. Sebelum ini, tak ada pun...bila dibuka, maknanya ada permintaan dan keperluan! Aduh!!! Takut terfikirkan masa depan. Mohon kepada Allah agar bukan kita yang dipimpin ke rumah jagaan harian itu....

Kata orang dunia ini macam roda - apa yang kita lakukan kepada orang akan dilakukan pula kepada kita! Tak semestinya orang yang kita perlakukan dulu. Boleh jadi sesiapa saja. Pokoknya, kita juga akan turut merasa.

Nota : Terima kasih kepada Sham, pelajar AIS510 saya yang melukis grafik ini




Pelajar/Graduan perakaunan patut cipta pekerjaan

Kami berlatarbelakangkan perakaunan dan kami perhatikan ramai pelajar perakaunan tidak memilih kerjaya dalam bidang ini selepas tamat belajar. Kami kenalpasti 2 faktor penyebab kepada fenomena ini, iaitu :
1) memang pelajar tidak minat bidang ini - belajar tapi dari awal/pertengahan waktu belajar lagi dah buat keputusan tak nak bekerjaya dalam bidang perakaunan
2) persaingan yang sengit untuk mendapat kerja
Seseorang perlu memilih pekerjaan berdasarkan pengetahuan dan minat. Ada yang mengambil kursus dalam bidang ini tidak pernah tahu atau tahu dari awal bidang tugas dan budaya kerja dalam bidang Perakaunan. Mereka belajar kerana ikut rakan, arahan ibubapa, tiada pilihan lain dan sebagainya. Minat dan pengetahuan kerjaya dalam bidang ini boleh dipupuk melalui misalnya, pembacaan dan pengamatan. (rujuk buku kami, "Kerjaya Dalam Bidang Perakaunan").
Tapi di sini kami ingin bincang dengan lebih terperinci faktor ke 2, iaitu persaingan sengit. Perakaunan adalah bidang profesional dan banyak melibatkan aspek teknikal. Jadi belajar pun boleh tahan mencabar, begitu juga dengan kerjanya. Pengalaman paling baik untuk berjaya dalam bidang ini ialah Juruaudit. Dari segi kelulusan, mereka yang mempunyai kelulusan peperiksaan profesional dan menjadi anggota pertubuhan akauntan seperti MIA, akan diberi keutamaan. Malangnya, ramai pelajar perakaunan bumiputra hanya berhenti setakat Ijazah sahaja.


Berbalik kepada topik kami, ".....cipta pekerjaan". Graduan perakaunan boleh juga memberi khidmat nasihat kepada usahawan kecil dan sederhana tentang bagaimana untuk menerimapakai satu sistem akaun perniagaan yang baik - secara manual, lebih-lebih lagi berkomputer! Berkomputer pula banyak - Accounting, Stok, Payroll, POS, Client Management. Ramai usahawan bumiputra yang masih terkapai-kapai dengan sistem akaun mereka. Ada yang tiada langsung sistem akaun walaupun dah 10 tahun berniaga, ada yang gaji jurujual merangkap kerani akaun dan sebagainya. Beri khidmat nasihat mengadakan sistem dokumentasi dan merekod yang baik dan juga latihan menggunakan perisian perkaunan. Peluang luas terbuka kerana biasanya, firma perakaunan tidak menumpukan sangat kepada perniagaan kecil dan sederhana ini. Mungkin atas faktor bayaran. Keduanya, kesedaran semakin meningkat di kalangan usahawan untuk menerimapakai sistem akaun yang lengkap dan mantap.


Tapi, diakui perlunya ada kemahiran lain untuk menjayakan ini. Tak boleh juga hari ini tamat pengajian, esok dan nak bagi khidmat nasihat kepada orang...kami akan bincang kemahiran lain seperti aspek pemasaran, komunikasi, kemahiran dan yang berkaitan di lain masa... Jika ada pelajar/graduan perakaunan yang berminat untuk tanya soalan berkaitan hal ini, kami sedia membantu. Mulakan dengan beri komen anda kepada apa yang kami ceritakan di atas tadi.

Hanya orang sibuk akan ada masa!

Hari ni dah 11 hari berpuasa bagi 1427H atau 2006. Baca Al-Quran pun dok sampai ke mana lagi, Ramadhan doh masuk bahagian kedua doh…..Banyok lagi yang tak disentuh -Taik itik, kepek hidung, puteri mandi, tok aji serban, akok, butir nangka!

Saya kata kepada seorang sahabat, Ustaz Abdul Aziz, “Aduhhhh…cepat sungguh masa lo ni…!”

Jawab ustaz, “Ehhhhh…..masa bangat masa lambat ni dia bergantung kepada kita! Cuba tanyo orang yang ada dalam wad di hospital tu. Dia akan kata masa lambat berjalan. Nak habiskan satu hari tu..aduhhh..sebab apa? Sebab dia sedang menanggung kesakitan! Tanya pula si Mamat yang ada dalam jel. Mereka pun akan kata begitu juga….sebab tu ada yang sampai hafal A-Quran! Masa dirasakan lambat sebab dok tah…ting…tah..ting…saja!
Bagi kita yang sibuk ni….masa terbang!

Tapi saya teringat kata seorang sahabat lain, Jamalludin Helmi Hashim, “Hanya orang yang sibuk akan ada masa!”. Guano pulok tuh? Cuba fikirkan…..

Wednesday, October 04, 2006

Modul "Spider Web" - Kem Survival Diri


Kem “Survival Diri”CeRIA-PALAPES-MIDIA-BACC-SISKOM, 3-5 Ogos 2006

Saya bersama beberapa rakan bawa pelajar masuk hutan. Kami belajar tentang survival diri. Nak kongsi salah satu modul yang bagi saya amat berkesan, iaitu Modul 'Spider Web'. Modul ini mengajar semangat berpasukan, toleransi, kesepakatan dan patuhi arahan/undang-undang. Pelajar dikejutkan pada jam 3 pagi, diberikan taklimat tentang aktiviti yang akan dijalankan. Mereka bergerak mengikut kumpulan, mencari “amanah yang ditinggalkan” di setiap checkpoint. “Amanah yang ditinggalkan” merupakan bahan yang mesti dibawa balik ke kem untuk digunakan pada keesokan hari. Checkpoint tidak diberitahu secara terus, sebaliknya perlu diteka pelajar berdasarkan pembayang yang diberikan. Alaaa…macam siri TV, Explorace gitu…..

Seterusnya, tiga pasukan perlu bersatu berkongsi bahan-bahan yang mereka dapati secara berasingan untuk membuat satu sarang labah-labah gergasi. Sarang labah-labah gergasi ini dibuat mengguna tali “ropial” dan perlu diikat membentangi dua batang pokok. Pusat sarang labah-labah ini yang merupakan satu lubang besar di bahagian tengah mesti mempunyai ketinggian (dari tanah) separas dengan pusat ketua fasilitator!.Sarang labah-labah ini berada dalam struktur seperti sebuah gelanggang badminton di mana garisan persegi dibuat di atas tanah. Tiga kumpulan ini digabungkan dan setiap peserta perlu melalui pusat sarang labah-labah tanpa menyentuh jaringnya. Ahli kumpulan yang memasuki kawasan sarang (“gelanggang”) juga tidak dibenarkan bercakap. Jika sarang disentuh dan ahli bercakap dalam “gelanggang”, permainan dibatalkan dan perlu dimulakan semula, walaupun ketika itu sudah 28 peserta telah berjaya melepasinya. Masa yang diberi untuk kesemua pelajar melepasinya hanya 15 minit dan peserta dibenarkan membuat hanya 3 permintaan. Permainan ini antara lain mengajar pelajar:
  1. Berbincang, menerima dan memberi pendapat
  2. Bersatu, fleksibel dan bersedia mengorbankan kepentingan diri demi untuk kejayaan kumpulan
  3. Berfikir, berbincang dan mencapai keputusan dalam masa yang diberikan
  4. Bersabar menghadapi rintangan untuk menempa kejayaan
  5. Yakin dengan diri sendiri dan ketua/pemimpinmembuat perancangan dan strategi dengan berkesan
Bagi kumpulan pelajar yang mengikuti kem kali ini, mereka telah membuat 83 percubaan yang gagal dan percubaan ke-84, mereka berjaya dengan masa tinggal hanya 2 minit. Mereka telah lalui saat badan dan mental penat serta tertekan tetapi akhirnya melonjak gembira kerana berjaya. Syabas!

Kalau ada peserta atau sesiapa saja nak komen, persilakan.

Jepun, masyarakat pereka. Kita?


Jepun, masyarakat pereka (gambar diemail oleh Siti Fatimah Zahrah)Jepun, masyarakat yang suka mencipta dan mereka untuk kesenangan hidup. Dalam kes payung di bawah, mungkin kah ciptaan baru ini juga mampu menyukarkan penjenayah ragut? Masyarakat Melayu pula terkenal dengan sifat MALU. Adakah sifat ini akan menghalang masyarakat Melayu untuk menggunakan ciptaan sebegini? Atau lebih parah lagi menghalang daripada mencipta produk-produk sebegini. Jika ya, kita akan kekal sebagai pengguna dan tidak pereka/pencipta!Dalam hidup ini kena praktikal. Sebab itu orang Jepun boleh keluar idea-idea macam ni. Kita pula asyik suka berpura-pura. Contohnya, tak ada duit tapi nak pakai kereta besar/mewah, nak bagi orang tengok gah. Akhirnya, hutang keliling pinggang. Jika ianya tidak praktikal/mampu bagi kita, tak payah buat - ukur baju di badan sendiri!

Budaya "Tak apa"

Ni satu lagi sikap negatif sesetengah daripada kita - ambil sikap 'tak apa'! Maksud 'tak apa' di sini ialah tidak ambil kisah kesannya kena pada orang lain. Saya bawakan satu contoh di sini,Seorang rakan datang ke rumah anda bersama isteri dan dua orang anak. Sebaik duduk, kedua-dua anaknya dengan ala komando merangkak di atas sofa tempat ayah ibunya duduk hingga ke tempat anda duduk. Siayah dan siibunya buat dok saja, macam ianya tiada apa yang perlu dibetulkan. Nak ditegur, ibubapanya pun tak menegur.. Kata orang, 'anak-anak adalah gambaran ibubapanya' dan 'pelajar adalah gambaran gurunya'. Jika dibandingkan dengan zaman saya kanak-kanak dahulu, ini tak mungkin terjadi. Anak-anak tidak dibenarkan 'bang' dengar orang tua bercakap, apatah lagi meniti di belakang! Sekali jeling saja, saya dan adik-adik sudah faham. Ayah saya tak perlu bercakap banyak tapi kami patuh

Berkatnya Ramadhan....


Ramadhan juga bukti manusia boleh berubah! Walaupun '1 lawan 12', tapi boleh menang! Haaaa...bijok tu..Macam mana caranya? Berkumpulan dan persekitaran!Bila dah ramai-ramai berpuasa dan suasana pula menyokong, menjadilah! Di Dungun ni, semua kedai makan orang Islam tutup pada waktu pagi. Rakan sekerja berbangsa Cina pun kadang-kadang berpuasa breakfast juga dia. Tapi, cuba tengok puasa sunat Isnin & Khamis di luar Ramadhan...ieee..hebat lagi cabarannya!Jadi, kita kena ambil konsep ini. Kalau belajar, amalkan group study, kalau bekerja, biasakan semangat berpasukan. Tapi masyarakat kita tak ambil iktibar- bersikap individualistik dan katak bawah tempurung. Kita tok kuat kalu gini. 'mu mu aku aku!'. Lebih berat lagi, 'hok aku hok aku, hok mu hok aku!'

Ya Allah! Selamatkanlah para remajaku....

Pagi tadi saya dapat email & foto ini - tentang seorang remaja Melayu bertudung ke gereja! Sebelum ini banyak dengar tentang Lina Joy dan beberapa lagi kisah pasal murtad ini. Murtad bagi saya 'musuh senyap' yang kita tidak boleh buat tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu...Saya teramat takut kerana saya ada anak yang nantinya akan jadi remaja, saya ada ramai lagi 'anak', para pelajar saya yang dikasihi. Saya berdoa kepada Allah, agar saya, anak saya, isteri, keluarga, para pelajar remaja saya serta seluruh umat Islam dijauhi dari bala ini.


Zaman saya remaja, tak dengar isu sebegini. Kini remaja Islam kita nampak rapuh, celaru antara ajaran Islam dan adat, pening tentang objektif hidup mereka sendiri. Sebab tu mereka boleh tutup di atas dan buka di bawah! Suruhan Tuhan? Fesyen? Bertudung ke gereja!Masyaallah!!

Ayah saya meninggal 5 tahun yang lepas. Pernah satu ketika ibu saya berkata (dek kerana terlalu gerun melihat kegawatan manusia masakini), 'Wan mu beruntung pergi dulu...tidak perlu berdepan dengan dunia lo ni..' Saya berazam akan terus berjuang untuk memberikan yang terbaik untuk beliau, insyaallah! Saya sentiasa bayangkan saya seusia ibu saya beberapa tahun akan datang, menghadapi anak yang ketika itu sudah remaja atau dewasa. Bagaimana agaknya senario ketika itu? Ini belum pun apa-apa, remaja kita sudah hilang punca! Kena ada walaupun sedikit kegusaran tentang ini dalam hati - itu tanda kita cakna dan ambil tahu! Perkara mungkar kena diubah walaupun dengan benci di dalam hati.
Bulan lepas, semasa berjalan-jalan di Parkson Grand Kuantan, saya terserempak dengan remaja perempuan Melayu bertudung, berjalan berpelukan dengan seorang lelaki India. Kalu ayah saya masih ada dan melihat ini, saya pasti beliau akan menitiskan air mata, walaupun itu bukan anaknya!
Pah tu...kita nak buat guano ni. Kalu nak berbincang siapa silap, saya akan kata semua dan setiap kita silap!Diri sendiri, ibubapa, guru, abang kakak, jiran, rakan, pengamal media (TV/Radio/suratkhabar/Majalah),universiti, sekolah, kerajaan, NGO, pejabat Agama. Semua...semua ahli masyarakat yang terlintas di fikiran anda! Kemusnahan manusia adalah disebabkan oleh manusia tu sendiri. Kita ada hujah masing-masing. Kita kena usahakan agar ianya diambilkira oleh Hakim Yang Maha Agung nanti!

Masyarakat kita perihatin ko dok?

Pada 1 Okt 2006, penduduk taman saya tangkap 2 orang pelajar IPTA yang memecah masuk sebuah rumah di taman kami. Peristiwa berlaku dalam bulan mulia ini lebih kurang jam 2.30 pagi dan dilakukan oleh “manusia yang dikatakan berpendidikan”, generasi muda pewaris bangsa. Teruk mereka dibelasah sebelum diserahkan kepada polis. Inilah akibatnya bila masyarakat sudah muak dan jeluok dengan jenayah yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. “Ya ke menjadi-jadi?. Rasa biasa saja!” Kita tak tahu kerana kita tak nak ambil tahu. Kita hanya berminat nak tahu tentang kita sahaja. “Selagi tak jadi kepada aku, apa aku kisah!” Pagi-pagi keluar kerja, petang balik rumah tutup pintu, esok keluar ke tempat kerja lagi!
Di Dungun, dalam dua minggu kebelakangan ini, ada Cina penjual sayur dirompak, ada 7-Eleven dirompak, ada rumah dipecah masuk, ada kanak-kanak yang sedang berjalan mak suruh beli pisang goreng, diangkut ke dalam kereta kancil, dibawa keliling Dungun, dibogelkan dan dihantar semula ke tempat diambil, ada banduan lompat dari lori polis dan lari ke hutan di Rantau Abang! Kena akui dalam masyarakat kita ni ada jenis orang yang di luar nampak sihat dan segak tapi di dalam, wayar sudah berserabut, bersimpul dan ada yang dah putus pun! Yang kita pula, sebab sikap tak kisah, kononnya tak ingin jaga tepi kain orang, hangit punggung sendiri terbakar pun kita ingat punggung orang lain yang terbakar…sehinggalah..
Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah kena berhati-hati dan ambil cakna. Bantu cegah jenayah! Ni baru 10 hari puasa. Dekat raya atau hari raya, tak tahulah cerita. Raya tahun ini pula cutinya panjang, hampir seminggu!
Masa saya kecil dulu, orang kampung memang perihatin. Walaupun tiada SMS, mudah dikesan dan tersebar jika ada sesuatu yang di luar kebiasaan berlaku dalam kampung. Penjenayah terpaksa fikir 10 kali, nak masuk ke tak nak! Silap haribulan, pecah muka dan patah sana-sini. Orang kampung dulu-dulu, “lembut tapi keras!”. Orang sekarang? Orang kampung dulu amal konsep “anak kita anak orang, anak orang anak kita” – banyak mata perhati gelagat kita di kampung. Jika buat silap, sesiapa pun boleh tegur. Bila sampai ke telinga ayah yang kita ada buat “nakal”, kita kena zupppp….zappppp…dulu. Tak kira kita salah ke tak salah! Jika kemudian terbukti kita salah, kena lagi. Jika tak salah, sakit sajalah….Semalam, kami satu taman berbincang aspek keselamatan lagi :Di KL khabarnya ada satu taman perumahan yang penduduknya berpakat, kumpul duit/tabung setiap bulan dan bayar 4 orang warga pencen taman untuk uruskan keselamatan taman. Sorang dibayar RM800 sebulan. Siap ada vest lagi! Lepas jam 12 tengahmalam, laluan masuk ke taman di tutup. Sesiapa yang ingin masuk ke kawasan taman selepas waktu ini akan ditanya. Tapi ada juga warga yang nak rumah mereka dikawal tapi tak nak sumbang kepada tabung. Ni jenis yang “free rider”. Rumah penyumbang kepada tabung akan diletakkan pelekat.Kena pakai psikologi sikit – pasang CCTV gimik ke, letak label “Awas! Anda di perhatikan!”, “Neighbourhood Watch”, “Kami sepakat cegah jenayah!”, “Awas! Anda memasuki kawasan bersih Jenayah!”, “Awas! Di sini ada kucing besar dan garang!”, atau “Awas!Pagar Elektrik”

Bukan Salah Ibu Lembu Mengandung...

Pagi 11 Sept 2006, semasa dalam perjalanan ke pejabat, saya terlihat sekumpulan dalam 70 ke 80 ekor lembu sedang 'jalan-jalan cari makan' di jalanraya. Sebenarnya ini permandangan biasa di Dungun ni...Mereka ini bukan sahaja membahayakan keselamatan tetapi juga kesihatan - biasanya mereka tinggalkan 'kuih' pelbagai saiz dengan satu bau di sepanjang perjalanan mereka! kalau dalam Perakaunan, lembu ini boleh dianggap STOK, item yang tergolong dalam kumpulan aset semasa (Current Asset). Tapi Stok tidak secair Tunai yang juga tergolong dalam kumpulan yang sama. Kurang cair sebab kena jual dulu baru dapat duit! Pun begitu, nilai lembu tinggi juga - kekadang tu mencecah RM1,500 seekor. Dekat Raya haji, bolehlah sahkan nilainya. Peliknya, tuannya buat tak cakna sahaja. Bayangkan kalau lembu tu sebenarnya 'not RM1,500 yang sedang beratur berjalan di jalanraya'.
Dalam Islam, konsep kejiranan dan khalayak ramai diutamakan - jangan susahkan jiran dan sentiasa pentingkan umum daripada diri sendiri! Lembu ini, jika berjalan, dia akan belasah apa saja yang boleh dimakannya - tak kira pokok bunga orang ke, tanaman buahan orang ke atau seumpamanya! Dalam menjalani kehidupan ini, banyak yang kita tak ikut saranan agama Islam yang suci. Sebab itulah kita bermasalah, semakin bermasalah! Hal-hal beragama ini tak selesai hanya dengan tunggang tonggek solat! Tapi saya pasti semua ini bukan salah ibu lembu yang mengandung! Sebab, manusia ada kata 'bodoh macam lembu'. Jadi orang bodoh dan gila tak boleh diambil hal! Apatah lagi binatang. jadi siapa sebenarnya di sini yang...ehemmmm...ehemmmm???
Semasa kecil, saya ada juga pelihara lembu, bantu datuk! Setiap pagi, saya ikut datuk pergi bawa lembu ke padang ragut, pacak tunggul tali pengikat lembu agar lembu tidak 'jalan-jalan cari makan' ke tanah orang. Jika lembu hilang, datuk tak bedal lembu tapi dia bedal saya! Saya teringat kisah di zaman sahabat rasulullah s.a.w dulu tentang kisah binatang ternakan makan tanaman orang. Nak hilangkan benda yang dah jadi darah daging ni memang sukar. Kalau perkara yang Islam titikberatkan ini kita anggap kecil dan remeh, alamatnya memang kita dah jauh sangat daripada agama.