Google
 

Saturday, October 28, 2006

Ibubapa....

Jumaat, 27 Oktober 2006 bersamaan 4 Syawal 1427H. Khutbah Jumaat di masjid To’Ku Chabang Tiga membicarakan perihal besarnya jasa ibubapa yang tidak harus dilupakan oleh anak. Jadi kali ini saya nak bincang pasal ibu ayah. Saya percaya perbincangan mengenai ibu dan ayah menyentuh banyak hati. Sebagai seorang anak, saya kira kita banyak menyusahkan daripada menyenangkan kedua ibubapa kita. Ini saya lihat dari kronologi berikut:

1)Sembilan bulan dalam perut dikendung ke sana ke mari. Bagi ibu yang bekerja, naik tangga turun tangga, aduhhhhhhh…beratnya!
Semasa lahir, nyawa jadi taruhan. Ada ibu yang meninggal ketika melahirkan anak. Isteri saya “berkampung halaman” di wad selama 2 bulan sebelum melahirkan anak kedua kami.
2)Bila dah lahir…..bercekang mata pula menjaga. Ada anak yang jenis menangis (macam histeria) siang malam sampai jiran fikir ibubapa dera bayi!. Ada yang berpenyakit tapi ibu dan ayah sanggup juga pelihara, ikhtiar cari ubat sana sini.
3)Sekolah rendah, kita hanya tahu minta duit! Anak-anak zaman sekarang lagi dahsyat – dah pandai buat permintaan yang mencabar, terutama bagi ibubapa yang tiak berkeupayaan. Pantang keluar di TV atau tengok anak jiran ada, dia pun nak! Bila tidak dipenuhi, ibubapa dipersalahkan. Zaman lo ni zaman minta handphone, playstation, scooter, pocket bike dan bukan lagi kasut/baju sukan, baju rumah sukan, buku garis 3, pensil warna LUNA, beg 4 persegi pppetok!
4)Bila dah sekolah menengah, ada yang masuk asrama – balik sekali sekala saja ke rumah. Cuti pendek, lebih sanggup ke rumah kawan. Cuti panjang, balik kampung tapi payah nak lekat kat rumah! Habis SPM (kalau habis/dapat keputusan ok!), tak sempat duduk lama di rumah, terus masuk universiti.
5)Bila dah jadi pelajar universiti, balik kampung lagilah jarang sebab dah pandai jalan-jalan bersama rakan. Bagi yang keluar negara pula, setahun sekali balik atau ayah ibu meninggal pun tak dapat balik. Masa saya dulu pinjaman pelajaran tak semudah sekarang! Tiada PTPTN macam lo ni. Dulu tak cukup duit, minta dengan ibu ayah di kampung. Sekarang, dah ada PTPTN lain pula halnya – asyik tukar handphone atau hidup macam orang dah bekerja!
6)Dah tamat belajar, terus cari kerja, biasanya tidak di kampung halaman. Masa baru berkerjaya, sesetengah daripada kita masih menyusahkan ibu bapa – pinjam duit beli kereta atau “pinjam” kereta – ibu ayah di kampung tak kisah, naik motor atau bas atau basikal pun tak apa, anak punya pasal!. Bagi sianak pula, biasalah, pinjam mudah, bayarnya payah!
7)Seterusnya, apa lagi….kahwinnnnnnnnn. Masa ini pun ada yang masih minta bantuan kewangan daripada ibubapa untuk belanja hantaran dan majlis perkahwinan. Orang muda kahwin, terus dapat anak – “bunting pelamin” kata orang. Nak cari pembantu sukar dan mahal pada tahun-tahun awal berkerjaya. Jadi, senangnya kita export anak kita ke kampung untuk dijaga oleh ibubapa kita. Jika tidak pun, sekali-sekala jemput ibu ayah datang tinggal dengan kita semata-mata untuk jaga anak kita.
8)Bila dah kerja, berkeluarga, faham-faham sajelah….”tak dapat cuti”, “isteri/suami pula tak boleh cuti”, “anak sekolah/fardhu ain”, “terpaksa ikut outing syarikat” adalah antara alasan kita untuk tidak pulang ke kampung menziarahi orang tua!
9) Bila ibubapa meninggal pun (sesetengah kes), anak-anak masih menyusahkan - berkelahi berebut harta pusaka!Ayah ibu dalam kubur juga yang terseksa.

Jadi berapa lama sebenarnya yang kita hidup produktif dengan ibu ayah? Atau kalau boleh dibuat pengiraan, cuba kita kira dan banding jangkamasa ibu ayah bantu kita dengan kita bantu ibu ayah. Kehidupan sekarang mengajar kita pandang remeh atau buat kita mudah alpa tentang tanggungjawab kepada ibu bapa – tanggungjawab dirasakan sudah terlaksana dengan balik raya setahun sekali, masuk duit dalam akaun, telefon bilamana sempat dan ingat (atau suruh anak-anak saja telefon ibu ayah kita di kampung).

No comments: