
Fokus perbincangan saya kali ini bukannya kereta kuning tetapi hati manusia zaman sekarang yang kuning dan berdebu! Pernah suatu ketika, semasa saya bersama tuanpunya kereta kuning sedang makan di warung, kami didatangi oleh seorang lagi rakan sekerja (wanita) yang dengan selambanya berkata, "Wei...tukarlah kereta tu! Dok padan dengan u! Kita ni kena jaga juga status/imej". Saya dan rakan saling berpandangan dan kami bersetuju, nadanya bukan nada gurauan! Kawan saya lantas menjawab, "ilmu dan nilai bukan terletak pada kereta!" Saya hormat prinsip yang dipegang oleh rakan pemilik kereta kuning. Katanya, "aku berpuas hati dengan kereta ini kerana tidak banyak mendatangkan masalah. Walaupun buruk, tanpanya, aku patah kaki". Saya setuju dengan beliau - setakat ini, kereta kuningnya boleh ditinggal di mana saja dengan kuncinya sekali tanpa disentuh. Masalah dihimpit kereta lain di jalanraya tak timbul kerana kereta lain seakan "memberi laluan". Tambah rakan saya lagi, beliau hanya tukar minyak hitam 6 bulan sekali.
Masalah dengan masyarakat kita secara umumnya ialah mementingkan pandangan orang lain daripada diri sendiri. Masyarakat kita juga hanya lihat luaran dan tidak dalaman. Asalkan berkereta besar, berpakaian kemas dan bertali leher, terus bagi tabik hormat tanpa banyak soal. Masyarakat kita masyarakat kebendaan - yang kaya itu mulia, yang miskin itu hina! Kami bercadang nak berbasikal ke tempat kerja. Walaupun objektif utamanya untuk kesihatan tapi kami juga ingin tengok apa masyarakat kata. Di negara maju seperti di UK, profesional berbasikal ke tempat kerja sudah menjadi kebiasaan. Tidak menjadi buah mulut, tiada isu imej/status. Malah tiada yang peduli pun! Ada yang pikul basikal mereka sampai ke dalam pejabat (disebabkan masalah keselamatan). Masyarakat kita juga terkenal sensitif dengan perubahan, walaupun untuk kebaikan! Atau lebih tepat saya katakan..malas nak berubah! Cepat dan mudah selesa!
No comments:
Post a Comment